Wanita cedera ketika bantu padam api kereta
JOHOR BAHRU - Seorang wanita daripada Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Capital City cedera pada tangan ketika cuba membantu memadam kebakaran pada sebuah kereta, hari ini.
Bagaimanapun Nohhasmimi Kemarudin, 30, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi.
Komander Operasi dari Balai Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Kilok Lampas berkata, Nohhasmimi cuba memadam kebakaran pada kereta yang diparkir di tingkat lima itu sebelum ketibaan pasukannya.
"Kami terima panggilan jam 3.45 petang dan setibanya Pasukan Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran pada sebuah kereta jenis Toyota Vios.
"Kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan kereta tersebut.Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air tangki pam jentera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Seramai lapan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Larkin terlibat dalam operasi yang tamat jam 4.42 petang tadi.
Sebelumnya, pengunjung Capital City digemparkan dengan bau asap dan diarahkan untuk mengosongkan tingkat atas kira-kira jam 3.45 petang.
Ketika kejadian sidang media perasmian sebuah program sedang berlangsung di tingkat empat pusat beli belah itu sebelum diarahkan meninggalkan aras itu segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!