Pengundi muda tidak gembira dengan kerajaan PH
KUALA LUMPUR - Ramai pengundi muda tidak gembira dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan tinjauan kadar puas hati yang dibuat Merdeka Centre.
Tinjauan yang dibuat pada 28 Jun hingga 1 Julai itu melibatkan 961 responden di Semenanjung Malaysia dan berusia 21 tahun ke atas.
Keputusan tinjauan itu memperlihatkan lebih ramai pengundi dalam kumpulan umur 21-30 tahun, 31-40 tahun dan 41-50 tahun tidak gembira dengan PH.
Bagaimanapun pengundi dalam kumpulan usia 51-60 tahun dan 60 tahun ke atas berpuas hati dengan parti gabungan itu.
Dalam kumpulan pengundi berumur antara 21-30 tahun, sebanyak 42 peratus tidak gembira dan 38 peratus menyatakan berpuas hati.
Bagi kelompok usia 31-40 tahun pula, sebanyak 43 peratus menunjukkan keputusan tidak berpuas hati manakala 38 peratus menyatakan sebaliknya.
Keputusan tinjauan melibatkan kumpulan usia 41-50 tahun memperlihatkan 39 peratus tidak gembira berbanding 36 peratus yang menyatakan rasa puah hati mereka.
Dalam kumpulan pengundi berusia 51-60 tahun pula, sebanyak 50 peratus berpuas hati berbanding 34 peratus yang tidak gembira.
Bagi kumpulan berumur 60 dan ke atas, 52 peratus menyatakan gembira terhadap PH berbanding 28 peratus yang tidak berpuas hati.
Pada April lalu, keputusan tinjauan Merdeka Center mendapati kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PH merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei tahun lalu kepada 39 peratus pada 11 Mac lalu.
Kaji selidik membabitkan 1,204 pengundi yang dijalankan di seluruh Malaysia di antara 5 dan 11 Mac lalu itu turut menunjukkan hanya 34 peratus responden percaya negara kini berada di landasan yang betul berbanding 55 peratus pada Ogos 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!