Pasukan perubatan Sultan Johor bantu anggota polis rebah
PONTIAN - Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertindak segera memberikan rawatan kecemasan kepada seorang anggota polis yang rebah ketika bertugas di Dataran Majlis Daerah Pontian sempena Kembara Mahkota Johor 2019 hari ini.
Menerusi laman rasmi Facebook 'Sultan Ibrahim Sultan Iskandar@officialsultanibrahim', Pengarah Perubatan, Dr Charles Johnson dibantu tiga anggota paramedik serta juruteknik perubatan kecemasan memberikan rawatan tersebut.
Anggota polis itu kemudian dibawa ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut.
Ambulans peribadi Sultan Johor dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal seperti mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan mesin bantuan pernafasan automatik.
Ia turut mempunyai dua balang oksigen berkapasiti 3,500 liter setiap satu, kerusi roda, peralatan bantuan rawatan luka kebakaran dan peralatan asas bantuan kemalangan jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!