KUALA LUMPUR - Polis melakukan serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Kepong Baru di sini semalam dan turut menahan 12 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO). Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan bermula pukul 10.30 malam itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur. Menurutnya, semua wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Vietnam dan tiga warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun. “Polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pengurus premis hiburan. Pemeriksaan polis juga mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen. “Selain tangkapan, kita turut memeriksa sebanyak 27 pengunjung termasuk lima wanita yang turut berada di dalam premis ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Rusdi berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis peralatan premis hiburan termasuk mikrofon dan pembesar suara serta wang tunai berjumlah RM268. "Semua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Perkara-Perkara Imigresen dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.