PKR Johor umum taat setia kepada Anwar
JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memimpin parti tersebut.
Dalam satu kenyataan, PKR Johor juga menyatakan komitmen untuk membantu Anwar menerajui negara sebagai perdana menteri kelapan.
"Kami menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh tanpa belah bahagi kepada Anwar untuk terus menjadi nakhoda menerajui parti tercinta ini dan juga barisan pimpinan negeri sedia ada.
"Kami menyatakan komitmen dengan apa jua kudrat dan sedaya upaya kami untuk menyokong dan membantu beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut mewakili 27 pemimpin PKR Johor yang diketuai Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Selain itu, ikrar berkenaan turut disertai Ketua Cabang PKR Pulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse; Ketua Angkatan Muda Keadilan yang juga Ketua Cabang PKR Johor Bahru serta Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan ADUN Bukit Naning, Yashruddin Kusni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!