Pengajar kolej maut kemalangan

Penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di KM44.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pagi tadi. - FOTO IHSAN PEMBACA
Penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di KM44.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pagi tadi. - FOTO IHSAN PEMBACA
A
A
A

KULAI - Seorang tenaga pengajar sebuah kolej di negeri ini maut selepas motosikalnya gagal memotong sebuah lori sebelum terbabas dan melanggar kenderaan berkenaan di KM44.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Airul Fami Che Mat, 37, yang beralamat dari Alor Gajah, Melaka, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kulai, Tok Beng Yeow berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal jenis Modenas Dominar D400 dan sebuah lori jenis Nissan-Lori Rigid.

"Siasatan awal mendapati, punca kejadian disebabkan kegagalan mangsa yang cuba memotong lori tersebut yang berada di hadapan laluannya.

"Mangsa kemudiannya terbabas dan terlanggar bahagian sisi sebelah kanan lori itu.

"Akibat perlanggaran itu, kenderaan mangsa terseret sejauh 15 meter di lorong kanan dan mangsa terjatuh di lorong kiri arah yang sama," katanya.

Beng Yeow berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik ambulans yang tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu lori, Muhammad Zolkifli Samsudin, 31, yang beralamat di Taman Harmoni, Simpang Renggam tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!