Masyarakat kurang ambil perhatian penjagaan mulut
Pengerusi Kelab Kebajikan Kesihatan dan Rekreasi Kesihatan Pergigian Daerah Kinta, Dr Zubaidah Ismail berkata, masyarakat hari ini dilihat tidak memberikan perhatian berhubung kaedah penjagaan kesihatan gigi.
Menurutnya, mereka (masyarakat) perlu diberikan penerangan lebih perinci berhubung perkara berkenaan.
"Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu perihal penjagaan gigi dengan betul.
"Oleh itu diharapkan agar program yang kita anjurkan ini terutamanya menerusi pameran yang diadakan dapat memberikan pemahaman terhadap perkara berkenaan," katanya.
Zubaidah berkata demikian pada sidang media sempena program larian amal ‘Kinta Miles With Smiles 2.0’ anjuran bersama Kelab Kebajikan & Rekriasi Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kinta dan Persatuan Kanser Kanak-Kanak Kami Endah Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan yang turut menyempurnakan perasmian program berkenaan.
Difahamkan, seramai 900 orang peserta mengambil bahagian dalam larian amal berkenaan yang mana telah mulai seawal 6.40 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.
Program yang melibatkan acara larian sejauh 5km itu turut menyelitkan pelbagai pengisian khususnya memberikan motivasi kepada masyarakat agar menjaga kesihatan diri melalui aktiviti riadah.
Sementara itu, Sivanesan berkata, pihaknya akan memberikan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi penganjuran program sama tahun hadapan.
Katanya, cek bernilai RM8,000 turut diserahkan kepada Persatuan Kanser Kanak-Kanak Endah HRPB selaras dengan objektif kelab untuk melakukan aktiviti kebajikan dengan membantu badan bukan kerajaan yang terpilih.
"Sumbangan yang kita buat ini adalah sumbangan amal kepada pihak yang memerlukan khususnya pesakit kanser kanak-kanak yang memerlukan.
"Oleh itu, kita harap program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!