Pengundi muda penentu kerajaan

A
A
A

TUN Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, membentangkan di Dewan Rakyat usul pendaftaran automatik pemilih yang telah berumur 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dianggarkan seramai 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih untuk tempoh lima tahun.

Kerajaan juga akan meningkatkan usaha untuk memberi kesedaran kepada warganegara yang layak untuk mengundi.

Perubahan ini sudah tentu merubah landskap dan senario politik tanah air pada masa akan datang.

Pengundi muda menjadi penentu pembentukan kerajaan pada masa akan datang kerana jumlah mereka melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Jika usaha kerahan untuk mereka wajib mengundi nanti, sudah tentu memberi impak besar kepada parti-parti politik.

Perubahan ini akan dapat dirasai apabila Sarawak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri dijangkakan selewatnya pada tahun 2021 nanti.

Kalau dahulu anak muda khususnya Melayu 'malas' untuk mendaftar sebagai pengundi, tetapi kini mereka secara automatik layak mengundi apabila berusia 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

Apa lagi alasan untuk mereka tidak mengundi? Titik tolak ini juga perlu difikirkan oleh parti-parti politik untuk menyusun strategi berebut untuk mendafarkan anak muda ini sebagai ahli parti politik mereka.

Dalam masa yang sama perlu difikirkan mekanisme yang bagaimana sepatutnya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) baik awam atau swasta membenarkan pelajarnya bergiat aktif dalam kampus.

Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan seramai 18.8 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 dianggarkan pada tahun 2023.

Data juga menunjukkan seramai 15 juta pemilih telah mendaftar sehingga suku pertama tahun 2019.

Pada hakikatnya walaupun hanya dengan satu undi, namun ia mampu menentukan pembentukan sebuah kerajaan.

Undi mempunyai nilai dan maknanya cukup besar dalam sistem demokrasi.

Hak dan keistimewaan rakyat yang boleh mengundi adalah peluang dan ruang untuk menentukan hala tuju dan pemerintahan di negara ini.

Maka jumlah yang keluar mengundi amat penting untuk menentukan corak dan hala tuju masa hadapan sesebuah negeri malahan negara. Penambahan pengundi muda seusia 18 tahun memberi impak kepada politik dan pentadbiran negara.

Pelbagai perdebatan untuk merealisasikan perubahan kepada umur 18 tahun sebagai pengundi.

Segelintir mengatakan anak muda masih belum matang untuk membuat keputusan dalam memilih calon atau parti yang bertanding pada pilihan raya. Ada pula mengatakan remaja akan sering terpengaruh dan terikut-ikut dalam menentukan pilihan.

Benarkah remaja di Malaysia belum matang pada umur 18 tahun? Kajian menunjukkan sistem persekolahan di Malaysia antara terbaik di dunia sehingga pelajar mampu memikir dan berkemahiran menganalisis.

Rata-rata lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) memilih untuk belajar di IPT baik awam atau swasta.

Mereka ini didedah, dididik dan diberikan kemahiran untuk berfikir kritikal dan analitikal.

Bagi mereka yang tidak ke IPT, mereka ini akan bekerja dan mengurus diri sendiri dan mampu berdikari.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah remaja sekarang adalah pengguna aktif sosial media dan netizen yang terdedah dengan kepelbagaian maklumat dan data.

Merekalah yang 'menceriakan’ dunia internet di Malaysia.

Namun mereka ini perlu dididik dan dipupuk agar menjadi netizen yang 'celik media’ – mampu membezakan maklumat yang tulen dan yang palsu.

Jika pihak kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, khususnya Jabatan Penerangan dan RTM mengadakan kempen 'celik politik' secara bersistematik, tahap kesedaran remaja kita mampu dipertingkatkan.

Jabatan kerajaan perlu mengembleng tenaga mengadakan pemasaran sosial dan politik agar pengundi muda ini boleh membuat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan pembentukan kerajaan.

Sebenarnya Malaysia adalah antara negara yang agak lewat menurunkan had umur mengundi ke usia 18 tahun.

Dalam ASEAN, negara yang memastikan had umur 18 tahun layak mengundi ialah Filipina, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam. Indonesia seawal 17 tahun sudah boleh mengundi. Singapura pula satu-satunya negara yang masih mengekalkan umur 21 tahun layak mengundi.

Sudah sampai masanya kita memberi peluang dan ruang kepada anak muda sebagai 'golongan milieu' mencorak dan sama-sama menentukan hala tuju kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!