Memahami hutang negara
SAYA mula dengan bercerita hal yang paling mudah iaitu berkenaan hutang. Boleh kata semua orang berhutang dalam hayatnya.
Bila berhutang kita kena bayar balik. Apatah lagi bagi orang Islam. Orang Islam selalu diberi amaran yang hutang wajib dibayar. Kalau mati dalam hutang, amalan kita tergantung.
Jadi saya dari dulu lagi beri nasihat dan amaran sesiapa pun yang berhutang kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Mara supaya bayar balik hutang.
Mampu tidak mampu itu soal lain. Malah saya sokong kuat langkah menyiarkan nama peminjam yang ingkar bayar balik hutang dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.
Apabila seseorang berhutang, ada dua komponen yang dia kena bayar balik. Satu pokok iaitu jumlah asal hutang dan kedua bunga iaitu faedah ke atas hutang.
Kalau orang perseorangan berhutang, kerajaan dan syarikat pun berhutang. Malah tanpa hutang banyak kerajaan dan syarikat tidak boleh hidup.
Kerajaan kita pun dari awal lagi berhutang. Mungkin banyak orang tidak tahu tetapi boleh kata pada kebanyakan waktu hasil yang kerajaan kutip kurang daripada jumlah yang kerajaan kena belanja.
Oleh sebab itulah, sebelum dan selepas Pakatan Harapan (PH) ambil alih kerajaan, kita amat mengambil berat isu hutang ini, khususnya hutang kerajaan pusat.
Kita kata kerajaan Barisan Nasional (BN) boros, amalkan rasuah dan terlalu banyak berhutang. Jadi apabila PH menang, salah satu langkah terawal kita adalah menyiasat kedudukan hutang.
Tapi apabila kita umumkan yang tanggungan hutang kerajaan Persekutuan bukan RM600 bilion atau RM700 bilion macam kerajaan BN dakwa tetapi sebaliknya lebih RM1 trilion, banyak orang terkejut dan tidak percaya. Malah ada yang tuduh kita bohong.
Kita mungkin biasa dengan seribu (1,000), seratus ribu (100,000) dan sejuta (1,000,000).
Tapi satu bilion tidak banyak orang boleh bayangkan. Satu bilion adalah satu ribu juta (1,000,000,000) dan satu trilion adalah satu juta kali satu bilion (1,000,000,000,000).
Dalam bahasa paling mudah, memang sangat banyaklah. Tapi itulah hutang dan tanggungan hutang kerajaan Pusat yang pada 17 Julai baru-baru ini dimaklumkan kepada Parlimen.
Kalau Menteri Kewangan, Lim Guan Eng atau mana-mana wakil BN yang beritahu, mungkin ada orang tidak percaya atau kata ini satu lagi diayah hendak busukkan BN.
Tapi maklumat terbaru ini diberi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang terdiri daripada lima ahli Parlimen PH, seorang BN dan seorang Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mereka dapati sehingga 31 Disember 2018, hutang kerajaan berjumlah RM741 bilion dan jaminan RM266.5 bilion menjadikan tanggungan hutang sebanyak RM1,090.8 trilion (1,090,800,000,000).
Daripada jumlah itu, hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) saja sebanyak RM32.2 bilion sedangkan nilai hartanya hanya RM10 bilion.
Sekali lagi terbuktilah bahawa 1MDB ini skim cepat kaya kerajaan BN yang sangat membebankan negara dan rakyat jelata.
SRC International yang sedang menjadi bahan perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, itu pun asalnya milik 1MDB juga.
Kesimpulannya, walaupun amalan biasa bagi kerajaan berhutang, tetapi hutang menggunung yang ditinggalkan oleh BN adalah berpunca daripada tadbir urus ekonomi dan kewangan yang tidak telus, rasuah, boros dan membazir.
Sebahagiannya adalah kerana Mohd Najib bukan saja menjadi Perdana Menteri tetapi juga memegang jawatan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.
Akibat daripada hutang dan tanggungan hutang yang terlalu banyak ini, kerajaan terpaksa berjimat-cermat sehingga menjejaskan peruntukan kepada rakyat jelata.
Tetapi dengan pengurusan ekonomi dan kewangan yang lebih telus dan berhemah kita mungkin dapat mengatasi sebahagian besar daripada 'najis' yang BN tinggalkan ini dalam masa dua atau tiga tahun.
Insya-ALLAH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!