Kementerian pantau kegiatan orang tengah
PULAU TIOMAN - Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani akan melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi membasmi peranan orang tengah dan mengurangkan kos jualan ikan kepada pengguna.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, pemantauan itu turut merangkumi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan menerusi bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurutnya, ini dilakukan bagi menghapuskan kegiatan orang tengah yang memanipulasi rantaian pemasaran hasil laut dari jeti sebelum tiba ke tempat penjualan.
"Kita setuju bila harga ikan tinggi di pasar, tekanan berlaku kepada kami di pihak pengeluar namun kita mahu mewujudkan situasi menang-menang (win-win situation) bagi memberi keadilan bukan sahaja pada nelayan malah pengguna.
"Kita nak beri harga terbaik buat nelayan tapi dalam masa sama kita tak mahu pula pengguna jadi sasaran... kita mahu nelayan dapat hasil pendapatan yang baik sebab mereka ini dalam lingkungan kitaran kemiskinan agar mereka dapat bertahan.
"Tetapi kita nak pengguna dapat bekalan ikan dengan harga yang berpatutan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani dan Sambutan Jubli Perak 25 tahun Taman Laut Malaysia di Pulau Tioman di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Mohd Sallehuddin berkata, pihaknya telah berjaya menahan 52 bot nelayan warga Vietnam di kawasan perairan negara ini dalam Operasi Naga yang turut mendapat kerjasama daripada KPDNHEP dan Kementerian Pertahanan.
Menurutnya, pemantauan berterusan akan dilakukan yang diharap mampu memberikan signal amaran kepada nelayan asing kerajaan Malaysia serius dalam membanteras bot nelayan asing.
"Kita juga turut berterusan melakukan pemantauan dalam memastikan tiada pencerobohan mengikut zon berlaku yang berterusan dipantau oleh DOF.
"Ini kita lakukan bagi memastikan sumber ikan kita lebih baik kerana penangkapan ikan kini semakin mencabar dan akan merosot jika kita tidak menjaga dengan sebaiknya.
"Kita serius ingin menjaga sumber pembiakan ikan dan perlu kita lakukan sekarang supaya pada masa akan dtg kita tidak akan menjadi kepupusan sumber untuk makanan marin kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!