Remaja maut lumba motosikal di lebuh raya

Motosikal jenis Yamaha LC135 rosak teruk dan penunggang berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Motosikal jenis Yamaha LC135 rosak teruk dan penunggang berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

HULU SELANGOR - Tindakan tiga remaja berlumba motosikal di lebuh raya mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan awal pagi tadi.

Kejadian jam 2.30 pagi di Kilometer 430.4 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah Utara itu membabitkan lima kenderaan iaitu tiga motosikal dengan sebuah lori dan kereta.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, tiga remaja berusia 18 dan 19 tahun itu masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha LC135, 125Z serta Lagenda.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika remaja tersebut menunggang motosikal secara berlumba dari Sungai Buaya menuju ke Bukit Beruntung di lebuh raya berkenaan.

"Sampai di tempat kejadian, penunggang Yamaha LC135 telah melanggar belakang sebuah lori jenis Nissan di lorong kiri dan terjatuh.

"Dua lagi motosikal Yamaha 125Z dan Lagenda tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang LC135 di lorong kiri.

"Kemudian datang sebuah kereta jenis Nissan Sentra dari arah belakang yang tidak sempat dan melanggar dua daripada motosikal itu (LC135 dan 125Z)," katanya.

Azman berkata, penunggang motosikal LC135 berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian sementara dua lagi penunggang cedera luka di muka dan kaki.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan serta kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!