Sathianathan puji kebangkitan The Red Giants
KETUA Jurulatih Selangor, B.Sathianathan memuji semangat skuad The Red Giants apabila bangkit membenam pasukan 'adik', PKNS FC, 3-2 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu.
Beliau berkata, barisan pemainnya menunjukkan persembahan cemerlang walaupun kehilangan beberapa tonggak utama atas faktor kecederaan.
"Kita berjaya mengawal permainan dengan dua gol yang berjaya kita jaringkan datang dari 'set piece' kita, namun sebenarnya kita mampu menghasilkan lebih daripada tiga gol, tetapi apabila kita mendahului 3-1, pemain mula hilang bola.
"Walaubagaimanapun, syabas buat pemain," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.
Sathianathan pada masa sama berkata, secara keseluruhan, anak buahnya bermain dengan baik dan bekerja keras untuk berada di kelompok empat kelompok teratas carta Liga Super pada musim ini.
Dalam pada itu, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal mengakui, kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan mudah barisan pertahanan pasukannya, sekaligus memberi peluang kepada Selangor untuk menambah jaringan.
"Kita berjaya menjaringkan gol pertama pada minit awal permainan, tetapi akibat kelekaan kita dibolosi dua gol, pada babak kedua kita sekali lagi dibolosi.
"Kita cuba melakukan beberapa serangan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol kedua, namun ia sudah terlambat," jelas bekas pengendali skuad kebangsaan itu.
Pada aksi di Shah Alam, PKNS FC mendahului perlawanan menerusi jaringan pemain import dari Colombia, Romel Oswaldo Morales seawal minit kedua perlawanan, sebelum Selangor bangkit meraih dua gol, masing-masing menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-39 dan Ifedayo Olusegun pada minit ke-43.
Ifedayo mencipta gol peribadi kedua pada minit ke-51, sebelum PKNS FC merapatkan defisit perlawanan menerusi Tamirlan Kozubaev pada minit ke-77. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!