Sukar selamatkan mangsa sebab rumah berkunci: Jiran
KUANTAN - Jiran tiga beranak yang maut akibat kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di sini, memberitahu mereka sukar untuk masuk ke rumah itu, kerana rumah itu berkunci.
Abdul Rahim, 59, berkata dia yang baru pulang dari solat Subuh di masjid segera bergegas ke rumah yang didiami lapan beranak itu, apabila melihat api mula membakar rumah tersebut.
"Saya mendapati pintu pagar dikunci, namun berjaya mencari ruang yang boleh dimasuki di hujung pagar namun pintu rumah juga dikunci, menyebabkan kami mengambil masa yang agak lama sebelum berjaya masuk.
ARTIKEL BERKAITAN: Nampak mangsa tepi tingkap cuba selamatkan diri
Tiga terkorban kebakaran babit empat buah rumah
Agong rakam ucapan takziah tragedi rumah terbakar
"Kami hanya boleh menyelamatkan lima orang, walaupun tahu rumah itu didiami lapan orang... kami sudah tidak dapat masuk ke dalam rumah kerana api begitu marak, menyebabkan keadaan tidak selamat untuk kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, rumah itu didiami dua keluarga, namun agak kurang dikenali kerana baharu menyewa di situ.
Kebakaran pada 7.45 pagi itu menyebabkan tiga beranak maut, dipercayai terperangkap, iaitu Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya iaitu Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, serta Muhammad Adam Daniel, 7.
Kebakaran juga menyebabkan tiga yang lain parah, seorang cedera ringan dan seorang lagi kanak-kanak tidak cedera.
Kejadian yang dipercayai bermula di bahagian tengah rumah mangsa, juga melibatkan tiga lagi buah rumah berhampiran.
Sementara itu, Norhaminuddin Zakaria, 44, yang tinggal bersebelahan rumah mangsa berkata dia mendengar bunyi letupan menyebabkan dia keluar rumah untuk memeriksa keadaan.
"Saya lihat api dari dalam rumah mangsa menyebabkan saya segera mengeluarkan ayah yang lumpuh ke tempat selamat, sebelum kembali ke rumah mangsa untuk membantu jiran yang sedang berusaha masuk ke rumah itu.
"Tapi api marak begitu cepat dan keadaan begitu kelam-kabut. Kami cuba untuk sedaya upaya untuk menyelamatkan seramai yang boleh, namun diberitahu ada tiga yang maut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!