Malaysia tuan rumah mesyuarat Menteri Pendidikan Asia Tenggara
PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan mempengerusikan Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara(SEAMEO) ke-50 bermula Isnin 22 Julai hingga Khamis 25 Julai di Bandar Sunway, Selangor.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya hari ini berkata, persidangan selama empat hari ini akan dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan, pegawai tinggi kerajaan dan wakil rasmi dari kesemua 11 negara anggota SEAMEO, negara anggota bersekutu, ahli gabungan, Pusat SEAMEO Serantau dan rakan strategik.
"Dalam persidangan kali ini, SEAMEO akan mengetengahkan isu perubahan lanskap pendidikan bagi menyokong pembangunan dari sudut ekonomi dan sosial. Persidangan ini turut menawarkan forum terbuka bagi membincangkan halatuju strategik berdasarkan tujuh bidang keutamaan SEAMEO yang selari dengan perspektif dan isu komuniti pendidikan antarabangsa khususnya di rantau Asia Tenggara," jelas kenyataan itu.
Menurut KPM, persidangan kali ini juga menyasarkan kerjasama yang lebih erat dalam bidang pendidikan dalam kalangan negara Asia Tenggara dan selainnya.
"Para menteri pendidikan dijangka akan memberikan pandangan dalam menetapkan keutamaan SEAMEO pasca2020 melalui pelan strategik SEAMEO 2021-2030," katanya lagi.
SEAMEO yang beribu pejabat di Bangkok ditubuhkan pada November 1965 merupakan pertubuhan yang berperanan dalam mempromosi kerjasama bidang pendidikan, sains dan kebudayaan di rantau Asia Tenggara.
Sejak penubuhannya, menteri pendidikan bermesyuarat secara tahunan untuk mengambil perhatian terhadap pencapaian 26 buah pusat serantau SEAMEO di segenap pelosok Asia Tenggara meliputi laporan kewangan dan pelaksanaan aktiviti semasa serta mengesahkan perancangan aktiviti masa hadapan.
Mulai 2013, persidangan SEAMEO diadakan secara dwi-tahunan dan dianjurkan oleh setiap negara anggota secara bergilir.
Negara anggotanya terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!