Isu dewan: Tak timbul salahguna kuasa, penyelewengan
SUNGAI SIPUT - Pembinaan dewan orang ramai di atas tanah persendirian sebelum ini dibuat dengan persetujuan pemilik tanah dan bukan atas kepentingan tertentu.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tidak timbul soal salahguna kuasa atau penyelewengan dalam pembinaan dewan orang ramai di atas tanah persendirian.
Menurutnya, halangan terhadap sebarang penggunaan premis tersebut berkaitan peraturan tanah adalah di bawah Kanun Tanah Negara.
"Apa benda yang ada atas tanah, yang tumbuh atau dibina di atasnya adalah kepunyaan tuan tanah. Mudah sahaja.
"Jadi oleh sebab dewan dibuat atas tanah orang, maka orang itu punyalah. Kalau saya buat atas tanah kerajaan, kerajaan punya.
"Jadi tak ada kena mengena dengan salah guna kuasa. Dua-dua setuju. Tuan tanah setuju kerajaan bina rumah atas tanah dia. Apa nak kata, jadi hak dialah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini hari ini..
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan yang mendedahkan kerajaan terdahulu membenarkan dewan orang ramai dibina di atas tanah persendirian hingga menyukarkan rakyat menggunakannya selepas PH mengambil alih kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Nama saja dewan orang ramai tapi tidak ramai boleh guna
Mengulas mengenai dakwaan Sivanesan bahawa Arena Square Tapah tidak boleh digunakan oleh kerajaan kerana dibina di atas tanah milik UMNO Bahagian Tapah, Saarani menjelaskan ia merupakan hak UMNO.
Katanya, tapak berkenaan merupakan tanah UMNO sekali gus Arena Square tersebut milik mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!