Dulu AES tekan, zalimi rakyat, sekarang?
KUALA LUMPUR - Hari demi hari, sindiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kerajaan PH dalam laman Facebook beliau dilihat semakin tajam malah ‘mencuit’ hati rakyat yang membacanya.
Terbaru, Najib mempersoalkan mengapa PH tidak menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sedangkan dulu mereka bersungguh-sungguh berjuang meminta kerajaan terdahulu memansuhkan sistem tersebut.
Menurutnya, mereka sanggup berguling dan berdemo mendakwa BN melaksanakan AES untuk mengaut wang dengan menekan dan menzalimi rakyat.
“Mereka berjuang untuk mansuhkan sistem AES. Bersungguh-sungguh mereka perjuangkan. Selepas jadi kerajaan, mereka tidak hapuskan AES sebaliknya mereka tambahkan jumlah kamera AES dengan banyak.
“Apakah AES tidak lagi menekan rakyat? Tidak lagi menzalimi rakyat selepas mereka berkuasa? Rakyat tidak lagi dihimpit kekangan ekonomi?
“Sudah kaya, penuh satu troli dengan RM50 ke?," soalnya.
Tambah Najib, beliau masih percaya AES dapat membantu meningkatkan keselamatan jalan raya seperti digunakan di negara-negara lain.
Begitupun, beliau mengakui tidak senang hati apabila PH menghasut, mempergunakan dan menipu rakyat selama bertahun-tahun dengan menggunakan alasan AES dan melabel dirinya zalim, tekan rakyat.
“Tetapi bila mereka buat yang sama tanpa sebarang rasa malu atau rasa bersalah telah menipu rakyat, ianya tidak lagi zalim dan menekan. Bukan lagi untuk Senyap-Senyap Tibai duit rakyat tetapi baik untuk rakyat.
“Jika guna Waze pun tak berguna untuk mengelak dari dilanggar kerana pusingan U yang dibuat kerajaan PH ini terlalu tajam. Tak sempat untuk Waze beri amaran. Waze pun pening,” sindirnya.
Sebelum mengakhiri catatan, beliau berpesan supaya mereka yang membayar AES menyampaikan peringatan beliau kepada pejuang-pejuang yang pernah berguling di jalan raya demi rakyat suatu masa dahulu.
“Dan bolehlah gunakan tuala Good Morning untuk lap sedikit air mata kesedihan yang mengalir semasa mengenang kehilangan secara tiba-tiba pejuang-pejuang ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!