Warga emas cedera dibelasah lima individu
KUALA TERENGGANU - Akibat salah faham berkenaan jual beli tanah, seorang lelaki warga emas dibelasah lima individu termasuk seorang wanita dikenali, dalam kejadian di Ajil, Hulu Terengganu semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 60-an cedera di muka dan kepala kerana dipercayai ditampar, ditumbuk serta dipijak oleh empat lelaki terbabit sambil diperhatikan wanita berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, sebelum kejadian, anak lelaki mangsa yang berusia 28 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah ternampak sebuah kereta dan pacuan empat roda tidak dikenali berada di kawasan tanah dibelinya, kira-kira jam 1.40 petang.
Katanya, curiga dengan situasi tersebut, perkara berkenaan terus dimaklumkan kepada mangsa sebelum warga emas itu bergegas ke lokasi dimaksudkan dengan menunggang motosikal berseorangan.
"Beberapa minit kemudian, anak lelakinya merasa tidak sedap hati lalu ke lokasi sebelum terdengar seperti orang sedang bergaduh dan dari jarak 100 meter, dia ternampak ayahnya sedang dipukul empat lelaki sambil diperhatikan seorang wanita.
"Terkejut melihat keadaan ayahnya yang sudah tidak bermaya, lelaki itu terus bertindak menarik mangsa balik ke rumah mereka sebelum menghantarnya ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Razmi berkata, semasa diminta menceritakan kejadian, mangsa mendakwa sejurus tiba di lokasi, kepalanya ditolak oleh seorang wanita tetapi sempat ditepis sebelum tiba-tiba datang empat lelaki lalu memukul di mukanya sehingga lebam.
"Selain itu, mangsa mendakwa turut ditumbuk dan dipijak oleh kesemua suspek sehingga mengalami kecederaan di muka dan belakang kepalanya. Anak lelakinya juga turut ditumbuk dan ditendang semasa dalam usaha menyelamatkannya," katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kejadian mungkin berpunca salah faham berkaitan jual beli tanah yang mana ahli keluarga suspek tidak dapat bertolak ansur dengan mangsa.
"Kesemua suspek masih diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dijalankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!