Orang asli meninggal dunia, dua lagi dirawat akibat denggi

Dr Ding Lay Ming
Dr Ding Lay Ming
A
A
A

HILIR PERAK - Seorang asli di Kampung Palawan B, Langkap di sini disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi menerima rawatan di Hospital Teluk Intan setelah berlaku kejadian wabak denggi di kampung itu sejak 15 Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak menerima laporan satu kes disahkan demam denggi pada 15 Julai lalu dan pejabat itu melaksanakan aktiviti kawalan hari sama.

Bagaimanapun, katanya, pada 19 Julai lalu, PKD Hilir Perak menerima dua lagi kes sama, menjadikan keseluruhan kes dilaporkan dari Kampung Pelawan B sebanyak tiga kes.

"Seorang pesakit daripada tiga kes itu disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan demam denggi hari ini, manakala seorang lagi sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Seorang lagi pesakit adalah stabil dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya kepada media dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Namun begitu, Sinar Harian masih belum memperolehi butiran lanjut mengenai jantina, umur dan waktu kematian kesemua mangsa terlibat.

Lay Ming berkata, hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan Perak di kawasan wabak, mendapati punca utama disebabkan terdapat kadar pembiakan nyamuk aedes tinggi di lokaliti itu.

Menurutnya, antara tempat pembiakan dijumpai di kawasan itu adalah perigi dan kolam terbiar, mangkuk susu getah di kebun getah serta tong-tong susu getah ditinggalkan terbiar di kawasan kebun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai usaha membendung penularan wabak ini dilaksanakan antaranya aktiviti pemeriksaan dan penghapuskan tempat pembiakan di mana sebanyak 82 rumah diperiksa anggota kesihatan.

"Selain itu, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan apabila sebanyak lima kompaun dan empat notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis didapati membiak nyamuk aedes," katanya.

Lay Ming berkata, satu sesi gotong-royong akan diadakan secepat mungkin dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan demam denggi.

"Kami ingin menasihatkan orang awam agar sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran di sekeliling kawasan tempat kediaman dan segera melakukan aktiviti pembersihan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau dalam rumah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!