Ibu bapa rayu Johor selesai masalah pencemaran
PASIR GUDANG - Sekumpulan ibu bapa murid mangsa pencemaran udara di Pasir Gudang merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah tersebut berikutan kejadian masih berulang.
Mereka kecewa kerana isu itu seolah-olah tidak ditangani sewajarnya dan mendakwa anak-anak mengalami simptom sama serta tidak aktif seperti sebelum ini.
Siti Hawa Tumpang, 48, mengakui kesihatan anak-anaknya turut terkesan namun puncanya masih belum dikenal pasti.
Menurutnya, gangguan kesihatan itu terus berulang beberapa kali tanpa kesudahan.
"Sampai sekarang dua anak perempuan saya masih sakit dada dan kepala. Sampai bila mereka perlu bertahan," katanya.
Menurutnya, anak-anak kerap tidak ke sekolah kerana masalah kesihatan dan dia bimbang pelajaran akan terganggu.
Siti Hawa merayu kerajaan mengatasi masalah pencemaran yang memang menjejaskan pelajaran dan kesihatan pelajar.
"Saya minta kerjasama pihak bertanggungjawab. Sudahlah tiada bantuan jadi tolong ambil berat keselamatan pelajar ini," katanya kepada pemberita pada sidang di Taman Pasir Putih, hari ini.
Sementara itu, Siti Nor Azizah Amat, 33, berkata, anak sulungnya, Nor Afrina Balqis Muslihat, 11, mengalami gangguan kesihatan sebanyak tiga kali sehingga kerap tidak ke sekolah.
Wanita itu juga bimbang kesihatan anaknya akan kembali terganggu kerana sudah tiga kali masalah sama berlaku.
"Kalau dia tak sihat, memang saya tak bagi dia pergi sekolah. Setiap hari saya fikir banyak kali untuk hantar dia ke sekolah," katanya.
Siti Nor Azizah juga mengakui trauma mendengar siren ambulans kerana bimbang kejadian berulang.
Menurutnya, sebelum ini anaknya dimasukkan ke hospital dan ada pengambilan sampel darah untuk ujian tetapi keputusannya tidak diketahui sehingga kini.
Abdul Hanif Majid pula kesal kerana anaknya dipanggil ke Hospital Permai baru-baru ini.
"Bagaimana kerajaan nak menjamin keselamatan anak kami? Saya tak nak salahkan sesiapa tapi kami diberi pelbagai alasan tak masuk akal.
"Pergi hospital pun minta jalankan imbasan x-ray pada anak pun ditolak. Tiba-tiba kena panggil ke Hospital Permai.
"Kenapa dapat rawatan mental sedangkan ini soal gangguan kesihatan?" katanya yang tinggal di Tanjung Puteri Resort.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!