Sokong kemudahan lebih baik buat anggota bomba
KUALA LUMPUR - Syor supaya anggota bomba dibekalkan dengan pelbagai faedah dan kemudahan yang lebih baik perlu disokong oleh ramai, memandangkan tugas-tugas yang dipikul anggota pasukan ini sama mencabar sebagaimana yang ditanggung oleh lain-lain agensi penting negara, menurut aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata dalam perkara ini kerajaan seharusnya menimbang cadangan bagi menambah baik kebajikan buat petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), termasuk dalam perkara-perkara yang berhubung dengan pemberian elaun kritikal.
"Isu ini perlu dibincangkan dengan teliti, dan diharapkan kerajaan akan memasukan perkara mengenai kenaikan gaji dan elaun kritikal buat anggota bomba dalam bajet tahun depan, sekiranya ia tidak dapat diperkenalkan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya beliau berharap kerajaan akan memberikan pertimbangan segera berhubung pemberian elaun kritikal itu, yang akan memberi manfaat kepada 14,500 ahli JBPM.
Lee berkata kerajaan juga seharusnya menyediakan peruntukan yang memadai buat pembangunan sumber manusia bagi membolehkan anggota bomba memiliki kemahiran efektif dan teknikal yang tinggi bagi memudahkan mereka menangani sebarang keadaan kecemasan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!