Bangunan hostel pekerja perlu dibina segera
KULAI - Pembinaan bangunan hostel pekerja di Senai disifatkan mendesak bagi penduduk yang berdepan dengan isu hostel pekerja di Taman Scientex Senai.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Husni Abdul Rahim berkata, cadangan untuk membina hostel pekerja di Senai bagi jangka masa panjang amat dialu-alukan.
Menurutnya, langkah yang diutarakan oleh Ahli Majlis itu perlu dilaksanakan secepat mungkin memandangkan kawasan Senai memiliki banyak kilang perindustrian dan pembuatan.
"Hostel pekerja di sebuah bangunan khas memerlukan tapak yang sesuai selain memerlukan banyak penelitian.
"Tetapi penduduk di Senai maklum, banyak bangunan hostel pekerja sudah pun dibina di sini terutama di kawasan perindustrian berdekatan lapangan terbang," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keresahan penduduk terhadap tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak menjadikan rumah di Taman Scientex Senai sebagai hostel pekerja.
Katanya, menerusi pemerhatian dilakukan bersama Rukun Tetangga Taman Scientex Senai terdapat 120 buah rumah dijadikan sebagai hostel pekerja setakat ini.
“Tiga tahun lepas, jumlah rumah yang dijadikan hostel pekerja cuma 30 buah rumah. Jumlah itu terus meningkat dengan rumah jenis dua tingkat dan dua setengah tingkat dijadikan hostel.
“Pada peringkat awal hostel didiami pekerja asing, tetapi sekarang ini kami lihat pekerja tempatan tinggal di hostal menimbulkan masalah sosial," katanya.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian ADUN Senai, Tee Boon Tsong dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) apabila dua sesi dialog telah diadakan bersama penduduk sejak Julai tahun lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!