'Cukuplah Umno, Pas bergaduh sebelum ini'

Ahmad Zahid (duduk, kiri) dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) pada sidang media selepas tamat himpunan malam tadi.
Ahmad Zahid (duduk, kiri) dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) pada sidang media selepas tamat himpunan malam tadi.
A
A
A
PASIR SALAK - Umno mengakui kesilapan bergaduh dengan Pas sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selama ini Umno ditipu supaya membenci Pas.

Menurutnya, jadikan perhimpunan membantah ICERD ini sebagai permulaan ke arah penyatuan itu.

"Ya, kita silap dulu bergaduh sesama sendiri. Cukuplah sebab ada atuk seorang itu daripada 62 tahun kita merdeka, 22 tahun atuk memerintah, dia ajar kami benci dengan Pas, dia ajar kami benci dengan DAP, dia ajar kami benci dengan lain-lain parti. Tapi sekarang ini mereka telah cium mulut sesama sendiri. 22 tahun kita ditipu tetapi kali ini 2018 walaupun kita lakukan kesilapan pada 9 Mei lalu membawa kepada tragedi kekalahan (PRU14).

"Bersama saya dan rakan-rakan kita bercantumlah semula. Kita ketepikan perbezaan dalam kalangan kita atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan Bumiputera Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap di hadapan lebih 30,000 penyokong sempena Himpunan Perpaduan Ummah di Dataran Kampung Gajah, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak meratifikasi ICERD.

Katanya, tindakan meratifikasi ICERD itu akan menimbulkan kemarahan orang Melayu dan Islam.

"Kita tahu ICERD ada dalang dari dalam dan luar. Orang Melayu ada satu sifat dalam kamus Inggeris iaitu amuk. Jangan sampai orang Melayu amuk.

"Tapi kalau amaran tak diendah Umno dan Pas akan bersatu. Ini bukan sebarang amaran jangan main-main kalau mahu perkataan amuk dilakukan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, pada sidang media selepas himpunan tersebut, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu kerjasama Pas dengan Umno setakat ini hanya melibatkan ICERD.

Katanya, belum ada sebarang perbincangan ke arah penggabungan kedua-dua parti itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!