Hentikan perbalahan, tumpukan agenda pemulihan negara
KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menumpukan hal ehwal ekonomi negara berbanding polemik politik dan perebutan kuasa.
Ketua Penerangan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Nik Marhalim Mohd Bakri berkata, politik tidak stabil dibimbangi menjejaskan keyakinan pelabur luar.
Menurutnya, kerajaan seharusnya memberi tumpuan meneruskan agenda pemulihan negara berbanding saling berbalah sesama sendiri.
"Rakyat menagih janji manifesto bukannya disajikan dengan berita kes rogol, skandal luar tabii dan konspirasi perebutan kuasa.
"Sekiranya ia berterusan maka tidak mustahil rakyat akan muak dan menolak kerajaan yang ada sekarang," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, Ikatan mengambil pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Hentikan perbalahan dan jangan ada gangguan ke arah proses pemulihan negara dengan isu skandal seks dan perbalahan perebutan kuasa yang merosakkan kredibiliti kerajaan serta imej negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!