Bantu komuniti dapatkan rawatan kesihatan mata
JELI - Bukan sekadar menjalankan pemeriksaan mata, sebaliknya ia memudahkan komuniti setempat mendapatkan akses rawatan kesihatan mata secara terus tanpa perlu melalui prosiding biasa.
Penyelaras Eye Community Engagement Programme (ECEP) Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Adli Hussein berkata, pihaknya akan datang kepada komuniti untuk menjalankan pemeriksaan dan mengenal pasti masalah mata dihadapi.
"Jika ada kes yang perlukan rawatan lanjut, surat rujukan akan diberikan dan mereka boleh terus dirujuk ke klinik pakar.
"Tak perlu ke klinik kesihatan berhampiran terlebih dahulu, ECEP dah sediakan platform untuk memudahkan komuniti mendapat akses lebih cepat dengan hospital," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Dr Adli sebelum itu menghadiri Program Doktor Bersama Masyarakat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Jakar.
Beliau berkata, ECEP juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan komuniti.
"Seminggu sekali Khamis atau Sabtu kami akan keluar untuk bersama komuniti di seluruh negeri ini.
"Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, sambutannya sangat menggalakkan, ramai yang keluar untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan di sini," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Dr Adli berkata, lebih 1,000 komuniti setempat hadir menghadiri program yang dijalankan bersama Jabatan Oftalmologi, Persatuan Kejururawatan Malaysia dan Unit Tabung Darah HUSM.
Dalam pada itu, penduduk, Mohd Hanafiah Jaafar berkata, pihaknya berharap program seperti itu terus dijalankan dalam usaha menggalakkan orang ramai menikmati tahap kesihatan lebih baik.
"Ia usaha yang baik apabila pasukan kesihatan sanggup turun padang untuk bersama komuniti setempat menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan berkongsi input berkaitan sebagai panduan bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!