Tukar sekolah lepas tiga kali jadi mangsa pencemaran toksik
PASIR GUDANG - Seorang bapa dari Taman Scientex membuat keputusan menukar sekolah anak perempuannya yang berusia 13 tahun ke daerah lain selepas tiga kali menjadi mangsa pencemaran toksik di Pasir Gudang.
Samshainny Sanif, 47, berkata, meskipun jarak sekolah anaknya jauh dari rumah mereka di Taman Sientex, namun kini dia dan isterinya, Norayati Embong, 45, boleh menarik nafas lega.
"Saya terpaksa ambil keputusan untuk pindahkan anak perempuan saya, Iman Arisyah Nazurah dari SMK Nusa Damai ke SMK Bandar Tenggara 2. Alhamdulillah dah daftar Isnin lalu.
"Jarak agak jauh kira-kira sejam lebih dari rumah jadi anak saya terpaksa duduk asrama dan setiap hujung minggu saya akan jemput balik Pasir Gudang sebab ada kelas agama darjah khas dan hantar semula ke Kulai selepas itu.
"Nampaknya itu rutin kami selepas ini tapi demi keselamatan anak, saya dan isteri sanggup," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis perjumpaan Naib Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon bersama mangsa pencemaran gas toksik di Pasir Gudang di sini, Jumaat lalu.
Beliau sebelumnya menarik perhatian hadirin apabila meluahkan kekecewaan susulan anaknya menjadi mangsa pencemaran tiga kali sejak Mac lalu sehingga baru-baru ini.
Ketika ditanya lanjut, Samshainny berkata kesan pencemaran itu menyebabkan anaknya kini berubah sikap.
"Sebelum ini, anak saya aktif bersukan tapi sekarang dia berbeza. Kadang-kadang dia emosi, pendiam.
"Sekarang apabila dengar bunyi ambulans lalu pun kalau tengah bercakap dia akan terus diam, muka jadi takut-takut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!