Dulu pelarian, kini atlet renang
GWANGJU - Empat tahun lalu Yusra Mardini hampir tenggelam di laut semasa melarikan diri daripada konflik di Syria.
Namun, hari ini siapa menyangka gadis cantik itu beraksi di pentas antarabangsa sebagai atlet.
Mardini yang berusia 21 tahun mewakili pasukan atlet bebas Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dan kini berada di Korea Selatan bagi menyertai pertandingan anjuran badan induk itu dalam acara 100 meter kupu-kupu dan 100 meter gaya bebas.
Kisah Mardini pernah mendapat perhatian ramai apabila bot yang dinaikinya bersama 20 pelarian lain tenggelam ketika dalam perjalanan ke Greece.
Sebagai satu-satunya orang yang boleh berenang, Mardini dan kakaknya Sarah melompat ke dalam air untuk menolak serta menarik bot yang tenggelam selama lebih tiga jam sebelum tiba ke pantai.
“Saya tiba di Greece hanya dengan seluar jeans dan baju T, malah kasut saya juga hilang,” katanya.
Mardini menjadi terkenal apabila bertanding di Olimpik Rio setahun kemudian di bawah bendera pelarian.
“Pada awalnya saya enggan berada dalam pasukan pelarian kerana saya takut orang fikir saya dapat peluang berkenaan kerana kisah hidup saya,” katanya yang kini tinggal bersama keluarganya di Berlin, Jerman.
Katanya, kehidupannya kini lebih jauh lebih baik berbanding di Syria.
“Di sana serangan roket selalu menggegarkan kolam tempat saya berlatih di Damsyik.
"Ada serangan bom yang kadang-kadang menghancurkan tingkap di sekeliling kolam. Kami takut sepanjang masa,” katanya.
Kisah hidup Mardini bakal difilemkan di Hollywood. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!