Kak Leen idam miliki restoran sendiri

Minat Kak Leen dalam dunia masakan terlalu tinggi.
Minat Kak Leen dalam dunia masakan terlalu tinggi.
A
A
A

MINAT Hazni Rozlin Mohamad Haron, 35, kepada dunia masakan bermula sejak kecil. Pada asalnya, beliau yang mesra disapa Kak Leen hanya membantu ibu memasak di dapur.

Lama-kelamaan, minat itu semakin bercambah. Ketika memasuki alam sekolah menengah, Kak Leen itu sudah boleh memasak pelbagai jenis lauk.

Menariknya, bukan sekadar lauk-pauk, beliau juga berkebolehan dalam membuat biskut dan kek. Selepas melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan, Khairil Nazwan Ahmad, 38, hobi memasaknya semakin mencanak-canak.

Pada satu peringkat, beliau memberanikan diri dengan mengambil tempahan memasak demi berkongsi rasa dan minatnya dengan orang ramai.

"Pendekatan itu sebenarnya merupakan satu terapi minda dan jiwa. Ya, saya rasa tenang dan sangat teruja tatkala menu yang dimasak dapat dihidangkan kepada ahli keluarga atau sanak saudara waima para pelanggan saya.

"Bila mereka kenyang dan gembira, saya juga dapat nikmati 'rasa' yang sama," ujarnya.

Cara Kak Leen bersembang, gayanya seperti suri rumah sepenuh masa. Namun, sebenarnya wanita cantik itu ialah seorang pensyarah.

Wah, bagaimana beliau membahagikan diri antara mengajar, memasak dan mengurus tempahan?

Kepada Dapur Femina, Kak Leen menjawab pertanyaan itu selain bersembang lanjut tentang dunia masakannya.

Antara hidangan yang mendapat sentuhan air tangan Kak Leen.
Antara hidangan yang mendapat sentuhan air tangan Kak Leen.

1) Boleh ceritakan sejauhmana dalamnya kecintaan Kak Leen dalam dunia masakan?

Sebenarnya minat memasak bermula sejak di bangku sekolah rendah. Dulu-dulu ibu selalu minta saya tolong dia masak. Pada kesempatan itu, saya perhatikan cara-cara beliau memasak. Bermula dari situ, minat (untuk memasak) semakin membuak-buak. Bila usia menginjak remaja, saya sudah mampu memasak pelbagai jenis lauk-pauk. Bila ibu rasa lauk yang saya masak sedap, ibu mula menaruh kepercayaan dan saya menjadi semakin yakin dengan diri sendiri. Ibu juga beri 'pelepasan' kepada saya untuk masak buat keluarga.

Artikel Berkaitan:

Masak lemak kubis dan sayur campur menjadi antara menu pertama yang saya masak buat keluarga pada ketika itu. Selain lauk-pauk, saya juga mampu menghasilkan biskut dan kek. Minat itu berterusan hingga saya berkahwin sebaik menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Selain suami, bapa mertua dan adik ipar yang kebetulan tinggal bersama turut menjadi testimoni masakan saya. Saya kerap menyediakan mereka bekal untuk dibawa ke tempat kerja.

Menu enak yang dimasaknya untuk keluarga.
Menu enak yang dimasaknya untuk keluarga.

2) Selepas mendirikan rumah tangga, bagaimana reaksi suami selepas mengetahui Kak Leen begitu teruja dalam dunia masakan?

Saya cukup gembira apabila beliau memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan. Menariknya, beliau sendiri yang mempromosikan masakan saya kepada umum termasuk rakan-rakan sekerjanya bagi mengambil pesanan. Suami tidak putus-putus memberi semangat agar saya berjaya memiliki restoran sendiri pada suatu hari nanti. Seperkara, suami saya juga mempunyai kemahiran memasak. Namun, dia lebih terarah kepada kuih-muih tradisional seperti kuih talam, kuih bakar dan agar-agar pandan. Alhamdulillah, kami sememangnya berkongsi minat yang sama iaitu memasak.

3) Dengan kelebihan yang ada, apa perancangan Kak Leen pada masa akan datang?

Jauh di sudut hati, saya menanam cita-cita mahu membuka sebuah restoran. Pun begitu, saya berdepan kekangan modal yang sangat besar. Kena tunggu modal cukup, baru impian ini dapat dilaksanakan. Kalau boleh, saya mahukan restoran yang sinonim dengan masakan kampung. Di samping itu, saya juga mahu ketengahkan air tangan sendiri berupa juadah dari Kelantan seperti laksa dan laksam. Namun, perancangan ini mengambil jangka masa yang panjang, mungkin dua atau tiga tahun lagi.

Pensyarah jelita ini gembira bersama hadiah yang dimenanginya selepas dinobatkan sebagai juara pada satu pertandingan memasak yang dianjurkan oleh Adabi tidak lama dahulu.
Pensyarah jelita ini gembira bersama hadiah yang dimenanginya selepas dinobatkan sebagai juara pada satu pertandingan memasak yang dianjurkan oleh Adabi tidak lama dahulu.

4) Jika dilihat kepada jumlah pengikut di Instagram, Kak Leen mempunyai jumlah pengikut lebih 11,000. Jadi bagaimana Kak Leen mengekalkan kedudukan pengikut yang ramai itu?

Kewujudan akaun Instagram pada empat tahun lalu bermula dengan niat sekadar suka-suka untuk berkongsi apa sahaja aktiviti dan kegembiraan saya bersama ahli keluarga, rakan dan sanak saudara terdekat. Saya juga memuat naik gambar-gambar masakan saya. Dua tahun kemudian, saya terkejut apabila pengikut di laman sosial bertambah. Memang saya tak jangka. Melihat situasi itu, saya mula mempelbagaikan menu masakan, menambah bahan hiasan dan juga dekorasi pada masakan untuk menarik minat orang ramai untuk cuba memasak.

Saya akui sangat teruja apabila ramai pengikut menghantar pesanan mesej bertanyakan tentang menu dan cara-cara memasak hidangan tertentu. Ada juga yang minta saya buat demo masakan melalui video. Disebabkan permintaan yang pelbagai, saya mengambil jalan memuat naik rakaman video berserta resipi masakan. Pada masa sama, saya jadikan Instagram sebagai platform untuk orang ramai lebih mengenali saya. Jadi, saya dapat promosikan diri dan juga restoran yang bakal saya buka nanti.

Masakan Kak Leen begitu sinonim dengan rempah dan kari Adabi.
Masakan Kak Leen begitu sinonim dengan rempah dan kari Adabi.

5) Setiap Cef Selebriti memiliki trademark atau pengenalan yang tersendiri. Bagaimana pula dengan Kak Leen?

Memang betul. Rasa masin, manis dan masam menjadi pelengkap penting untuk menghasilkan masakan yang sedap dan menyelerakan. Bila ada yang minta menu, saya mesti ingatkan mereka dengan tiga perkara itu. Jika salah satunya tidak seimbang, maka kualiti rasanya akan terjejas. Satu perkara lagi, saya gemar menumis sama ada bawang, serbuk cili atau kari dengan mengambil tempoh masa yang agak lama. Saya akan pastikan kedua-dua bahan tersebut naik wangi dan pecah minyak sepenuhnya, baru masukkan bahan-bahan lain. Cara itu penting bagi mengekalkan rasa masakan agar jadi lebih enak dan sedap. Bahkan ia mampu bertahan lebih lama dan tidak mudah basi. Mungkin anda boleh menikmati makanan itu lebih sehari. Ini petua yang saya praktikkan sejak dahulu lagi.

Kenangan Kak Leen bersama Kak Yatie (tengah) dan Zaleha Masterchef UK pada satu program yang pernah dihadiri beberapa bulan lalu.
Kenangan Kak Leen bersama Kak Yatie (tengah) dan Zaleha Masterchef UK pada satu program yang pernah dihadiri beberapa bulan lalu.

6) Sebelum ini, Kak Leen pernah bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta dan pasti sibuk dengan jadual tugasan. Jadi, bagaimana Kak Leen membahagikan masa?

Ya, saya akui agak sibuk ketika saya bertugas sebagai pensyarah sepenuh masa. Namun selepas bertugas separuh masa, saya gunakan waktu terluang untuk memasak dan juga menjual kek buah. Pada bulan Ramadan lalu, rezeki saya semakin terbuka luas apabila mendapat tempahan lauk-pauk daripada rakan-rakan setugas suami. Ayam percik dan ayam bakar Sarawak mendapat pesanan paling tinggi, ia menu daripada ibu mertua saya. Hampir saban hari, tempahan diterima. Sebenarnya minat memasak ini langsung tidak mengganggu kerjaya saya pada ketika itu.

Selepas waktu berbuka, saya akan siapkan bahan-bahan dan selepas bersahur, saya akan mula memasak. Berkenaan bahan-bahan mentah pula, biasanya saya akan beli dalam jumlah yang banyak sebagai persediaan. Hari minggu merupakan hari saya membeli barang dapur. Saya akui pendapatan yang diperoleh daripada hasil jualan makanan tidak begitu lumayan. Namun begitu, saya tetap mengambil pesanan dan tempahan. Saya lakukannya sekadar suka-suka kerana minat dan gembira apabila beri orang makan.

Suami tercinta sentiasa menyokong penuh minat dan impian wanita jelita berasal dari Kelantan itu.
Suami tercinta sentiasa menyokong penuh minat dan impian wanita jelita berasal dari Kelantan itu.

7) Bagi memantapkan teknik memasak, adakah Kak Leen pernah mengikuti mana-mana kelas masakan atau berhasrat untuk menganjurkan kelas memasak?

Setakat ini, belum ada hasrat ke arah itu. Sebenarnya, sejak mengenali Cef Selebriti yang juga duta Adabi, Nur Hayati Zainol Abidin atau Kak Yatie (@yatiekitchen), kami banyak berkongsi pengalaman memasak dan bertukar-tukar pandangan dalam dunia berkenaan. Saya mengenalinya ketika saya menjadi peserta dalam satu pertandingan masakan melalui laman sosial anjuran Adabi. Beliau ketika itu menjadi juri. Alhamdulillah, rezeki saya apabila terpilih sebagai pemenang pada minggu ketujuh. Sejak itu, kami agak rapat dan saya juga kerap mengikutinya jika dia terlibat dalam mana-mana program atau demo masakan di stesen televisyen.

Selain mempunyai kebolehan memasak, saya juga terlibat dalam dunia solekan sama ada pengantin atau orang perseorangan. Kak Yatie antara yang kerap mendapatkan khidmat solekan saya. Pada masa sama juga, dunia menjahit tidak pernah saya lupakan. Selain mengambil tempahan baju kurung, saya juga menjahit blazer dan pakai-pakaian lain. Namun, pelanggan biasanya dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan yang rapat sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!