Rumah peserta projek Mesej Abai Kinabatangan dibina tahun ini
KINABATANGAN - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan membina 20 rumah untuk peserta fasa 1 Projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) Abai di sini selewat-lewatnya Oktober ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata selain rumah, kawasan perumahan peserta Mesej akan turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti air, elektrik, surau dan dewan.
"Pokok-pokok sawit di Mesej Abai ini sedang menghasilkan buah dan boleh dituai sepenuhnya pada tahun hadapan.
“Oleh itu bagi fasa 1, kita menyediakan peruntukan khusus membina rumah kepada 20 peserta, manakala selebihnya akan dilaksanakan pada fasa 2 selepas kita mendapat peruntukan baharu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ewon berkata sebelum ini, kementeriannya membuat keputusan untuk membina rumah peserta di tiga buah Mesej iaitu Mesej Tukar di Pitas, Mesej Mansalu di Ranau dan Mesej Timpangoh di Penampang, namun pembinaan rumah di Mesej Mansalu tidak dapat diteruskan pada masa ini atas beberapa faktor, antaranya masalah jalan raya.
"Kita membuat keputusan perumahan Mesej Mansalu hanya akan dilaksanakan pada tahun hadapan selepas jalan perhubungan dibaiki,” katanya.
Ewon berkata antara matlamat projek Mesej ialah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, meningkatkan penggunaan tanah terbiar dan sebagai pendapatan tetap kepada peserta yang tergolong dalam senarai e-Kasih di kawasan berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!