Sentimental kayu api panggang daging
Beard Brothers BBQ tawar hidangan daging disalai antara 12 hingga 13 jam
Menariknya, hidangan berupa daging itu dimasak menggunakan kayu api.
Rasa kayu api itu akan meresap ke dalam hidangan yang pasti membuatkan anda kecur air liur.
Daging-daging itu akan disalai antara 12 hingga 13 jam bagi membolehkan rasa rempahnya meresap ke setiap bahagian daging.
Restoran itu juga dikatakan restoran pertama yang menawarkan hidangan salai berasakan daging untuk setiap menunya.
Pemiliknya, Nazri Jameson memberitahu, kayu api yang digunakan untuk menyalai daging terdiri daripada pokok bakau, pokok getah dan pokok manggis.
"Proses untuk menyalai daging sangat mencabar. Kami perlu bijak untuk mengawal suhu haba agar daging itu kekal lembut dan sempurna.
"Dada ialah bahagian yang sukar untuk dilembutkan. Jika dimasak terlalu lama, ia boleh menjejaskan teksturnya," ujarnya kepada Dapur Femina baru-baru ini.
Dari Australia
Beliau memaklumkan, kesemua daging di premisnya segar dan diimport khas dari Australia.
"Daging itu terdiri daripada bahagian tulang rusuk, brisket dan dada. Bagi hidangan kambing pula, dagingnya akan dicarik halus sebelum dihidangkan kepada pelanggan," katanya.
Berkenaan konsep hidangan pula, setiap sajian akan disertakan bersama roti, kentang putar, biskut dan kacang panggang.
"Resipinya telah diolah bagi menepati kehendak dan cita rasa masyarakat tempatan. Saya gabungkan rempah-ratus untuk memberi sedikit rasa pedas pada hidangan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, ujar Nazri, Beard Brothers BBQ juga bakal memperkenalkan menu segera yang sihat berasaskan ramen iaitu Umami Boru dan Beard Brothers Deli.
Umami Boru penuh dengan kebaikan sup yang mengandungi daging salai yang enak dan menyelerakan.
Beard Brothers Deli pula menampilkan sandwich yang enak yang boleh dinikmati dengan sos buatan sendiri yang pasti memberikan rasa yang berbeza.
*****************
PROFIL
Beard Brothers BBQ
Alamat: P-G-01, Persiaran Tropicana, Tropicana Avenue, Petaling Jaya, Kuala Lumpur
Waktu operasi:
Selasa, Rabu & Khamis: 12 tengah hari hingga 2 petang, 6 petang -10 malam
Jumaat: 6 petang - 10 malam
Sabtu & Ahad - 11 pagi hingga 10 malam
Isnin: tutup
Jenis hidangan: Barbeku dan menu-menu tambahan lain
Harga:
Bergantung kepada kualiti dan jenis daging yang dipilih pelanggan.
Bagi daging lembu bahagian dada, ia ditawarkan pada harga RM19 untuk 100 gram dan tulang rusuk RM31 (100 gram).
Daging kambing pula RM22 bagi 100 gram.
Instagram: beardbrothersbbq
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!