Saya bukan mata duitan, kata De Ligt
TONGGAK pertahanan baharu Juventus, Matthijs de Ligt menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya mata duitan apabila memilih untuk menyertai juara Serie A itu.
Sebelum ini, timbul dakwaan pemain berusia 19 tahun itu menolak tawaran Paris Saint-Germain (PSG) disebabkan faktor gaji yang dianggap tidak setimpal.
Dakwaan itu terus merebak dengan mengatakan pemain muda Belanda itu tidak selesa apabila bakal menerima gaji yang lebih rendah daripada Kylian Mbappe, yang kemudiannya ditepis oleh De Ligt.
"Saya cuba untuk mengelakkan daripada sebarang spekulasi kerana bagi saya segala bentuk khabar angin atau kontroversi sangat memenatkan. Berita yang paling gila pernah saya baca ialah saya enggan sertai PSG kerana tidak dapat gaji yang lebih tinggi daripada Mbappe. Itu adalah satu penipuan," tegasnya.
Jelas De Ligt, beliau memilih Juventus selepas mendapat nasihat daripada ejennya, Mino Raiola yang lebih arif tentang perkembangan dunia bola sepak.
"Saya memilih Juventus bukan kerana faktor wang. Semua orang tahu mengenai itu. Saya memilih kelab itu lebih awal dan kemudian segala berkaitan gaji dan yuran perpindahan diuruskan oleh ejen saya.
"Dia (Raiola) lebih arif tentang perniagaan dalam bola sepak. Jadi semuanya diuruskannya sendiri dan saya tidak terlibat dalam soal gaji atau yuran perpindahan," katanya.
De Ligt sebelum ini berhijrah dari Ajax Amsterdam ke Juventus dengan yuran perpindahan 75 juta euro (RM346 juta).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!