Reman peguam, DPP disambung dua hari
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tempoh reman terhadap seorang peguam dan seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dilanjutkan dua hari, berhubung kes menuntut bayaran membebaskan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, manakala enam anggota polis sebelum ini turut ditahan reman untuk membantu siasatan dibebaskan hari ini.
"Saya boleh mengesahkan tempoh reman seorang peguam dan seorang DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dilanjutkan manakala enam polis ditahan dibebaskan," katanya kepada media selepas pelancaran Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di sini hari ini.
Dalam perkembangan kes berkenaan, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membuat keputusan membenarkan tempoh reman dilanjutkan dua hari berakhir esok terhadap seorang peguam dan seorang DPP.
Sebelum ini, sembilan anggota polis antara 11 ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM pada Rabu lalu kerana dipercayai terbabit dalam kes rasuah dan rompakan membabitkan warga asing di Selangor.
Mereka ditahan atas kesalahan menerima suapan bagi tujuan melepaskan sembilan PATI daripada tahanan pihak berkuasa.
Dalam operasi khas itu, SPRM merampas RM100,000 dengan pecahan RM17,500 dirampas dari peguam manakala RM82,500 dijumpai dari pihak DPP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!