Suami, isteri tak mengaku abai anak OKU hingga meninggal dunia
KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU), hingga menyebabkan kematian, Januari lalu.
Tertuduh, yang merupakan bapa tiri mangsa berusia 34 tahun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai penjual kuih didakwa melakukan pengabaian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun, mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan di sini, kira-kira 12.30 tengah hari pada 13 Januari 2019.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi terhadap tertuduh, kerana perbuatan yang dilakukannya serius, yang mana mangsa telah mengalami pendarahan dalam otak sehingga meninggal dunia.
Peguam, Muhammad Razman Sahat yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah, kerana lelaki itu hanya menjual kuih selain penanggung utama keluarga.
"Tertuduh yang baru berkahwin dengan isterinya dua tahun lalu, berhasrat untuk mendermakan buah pinggang kepada isterinya yang mengalami masalah buah pinggang," katanya dan menambah isteri tertuduh perlu membuat rawatan dialisis tiga kali seminggu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 haribulan dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sementara itu, di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohd Khalid, ibu kandung mangsa yang juga penjawat awam berusia 51 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan sebarang jaminan manakala Muhammad Razman memohon anak guamanya itu dikenakan jaminan yang rendah kerana tertuduh yang mempunyai penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang, hanya memperoleh gaji bersih RM1, 500 sebulan.
"Suaminya yang hanya bekerja sebagai penjual kuih memperoleh gaji anggaran RM50 hingga RM70 sehari. Walaupun rawatan dialisis yang dilakukan adalah percuma, namun dia perlu menanggung kos ubat-ubatan dan perjalanan sebanyak RM400 seminggu," katanya.
Emelia Kaswati membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, yang merupakan anaknya dan penjamin itu bukan penjamin kepada suaminya selain membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi memindahkan kes itu di hadapan hakim Mahyon, untuk dibicarakan bersama.
Difahamkan wanita itu mempunyai lima anak yang sudah bekerja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!