KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merogol seorang pengantin baharu tahun lalu. Tertuduh, Muhammad Yusof Othman, 28, dari Dungun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan tanpa rela dengan mangsa, 30, semasa menceroboh masuk ke rumah sewanya di Paka, Dungun, kira-kira jam 5.40 pagi, pada 5 Oktober tahun lalu. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Lishantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan. Sebelum ini, media melaporkan seorang pengantin baharu dirogol oleh lelaki bertopeng yang menceroboh masuk ke dalam rumah sewanya. Suspek yang hanya memakai seluar dalam mengajak mangsa mengadakan hubungan seks dan mengugut dengan meletakkan gunting di leher mangsa. Setelah merogol mangsa, suspek mengugut mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga termasuk sebuah telefon bimbit.ARTIKEL BERKAITAN: Suspek rogol pengantin baharu diberkas