Web Bytes lancar kiosk mudah alih layan diri Xilnex BIG
Ketua Pegawai Eksekutif Web Bytes Sdn Bhd, Ooi Boon Sheng berkata, Xilnex BIG ialah penyelesaian runcit bersepadu yang direka bagi memenuhi keperluan unik pengendali rantaian makanan dan minuman (F&B) terutama makanan segera atau restoran perkhidmatan segera.
“Beroperasi pada skrin sentuh definisi tinggi yang besar, kiosk layan diri itu membolehkan restoran atau kafe melayani lebih ramai pelanggan.
“Pengendali F&B juga boleh menyesuaikan menu dan mengemas kini kiosk secara automatik dengan promosi terkini sekaligus dapat mengurangkan tempoh masa menunggu,” katanya menerusi kenyataan akhbar.
Dalam pada itu, Web Bytes turut menjalin kerjasama strategik dengan Applizone Solutions Sdn Bhd.
Applizone Solutions akan menyediakan sokongan dan penyelenggaraan perkakasan serta kiosk yang dibina khas dapat memberikan penyelesaian lengkap dan menyeluruh kepada para peruncit F&B.
Menurut Boon Sheng, Xilnex BIG telah digunakan secara percubaan dalam beberapa rantaian F&B seperti Marrybrown Sdn Bhd, Hot & Roll Holdings Sdn Bhd dan Loob Holding Sdn Bhd.
"Penyelidikan menunjukkan proses pesanan mudah dapat membantu meningkatkan persepsi pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan secara signifikan dan membantu meningkatkan perbelanjaan pelanggan sebanyak 25 peratus.
“Saya yakin nilai yang diperoleh daripada kiosk layan diri akan menyaksikan banyak pelanggan F&B mengguna strategi ini ke dalam perniagaan mereka untuk meningkatkan pendapatan dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik," katanya.
Web Bytes yang dimiliki 30 peratus oleh GD Express Carrier Bhd (GDeX) merupakan salah satu syarikat perisian Malaysia pertama yang menawarkan sistem pengurusan runcit berasaskan awan.
Sejak tahun 2015, Web Bytes telah memperluas kehadirannya ke Singapura, Indonesia, Kemboja, Kanada dan Australia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!