Lantikan Pengerusi SEDA, agenda rakus DAP?
SHAH ALAM - Pelantikan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dilihat menyerlahkan lagi kerakusan DAP untuk menguasai pelbagai sektor ekonomi negara.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius tindakan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin berhubung pelantikan itu.
"Perlantikan pemimpin DAP bagi menerajui agensi kerajaan yang penting ini bukan sahaja menimbulkan pertikaian dari segi ketelusan dan tadbir urus yang baik (good governance), bahkan satu lagi pencabulan kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) berkaitan dengan pelantikan politik dalam sektor kerajaan dan GLC,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/39173/BERITA/Nasional/Wong-Kah-Woh-dilantik-sebagai-Pengerusi-SEDA
Beliau turut mempersoalkan tindakan menteri itu yang terpaksa melantik kroni parti, seolah-olah tiada lagi tokoh dalam kalangan pakar, jurutera profesional dan ahli korporat yang mandiri untuk menggalas jawatan berkenaan.
“Justeru Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar YB Yeo Bee Yin tampil memberikan penjelasan kerana bukan sahaja membelakangi janji manifesto PH bahkan wujud konflik berkepentingan yang boleh dikaitkan dengan pelantikan ini.
Tambah Asyraf Wajdi, SEDA adalah agensi yang ditubuhkan di era Barisan Nasional (BN) untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan industri ‘Tenaga Diperbaharui' (Renewable Energy) negara.
"Sejak tahun 2012 sehingga 2017, SEDA bertanggungjawab kepada pengagihan kuota penjanaan tenaga elektrik melalui Fotovolta Solar, Biomas, Biogas, Hidrokuasa Kecil dan Geoterma berjumlah 3,086.45 GWj,” katanya.
Ujarnya, pada penghujung Disember lalu, Bee Yin telah mengumumkan projek pembangunan tenaga solar berskala besar (Large Scale Solar Power Project) bernilai RM2.0 bilion.
“Persoalannya apakah pelantikan YB Wong Kah Woh sebagai Pengerusi SEDA ini berkait rapat dengan projek berbilion ringgit yang baru diumumkan ini kerana agihan kuota penjanaan bagi projek ini akan diselia oleh SEDA?, soal beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!