Pengecaman wajah negatif: Lokman cabar KPN dakwa Haziq kerana menipu
SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana membuat laporan palsu.
Katanya, gesaan itu susulan kenyataan akhbar Abdul Hamid sebelum ini yang mengesahkan pelaku dalam video intim mengaitkan Haziq dengan seorang menteri kanan Kabinet adalah negatif.
"Maknanya Haziq sebelum ini memberi keterangan palsu dan saya cabar Ketua Polis Negara untuk ambil tindakan ke atas Haziq kerana memfitnah seorang menteri kanan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Video intim: KPN dedah terima tekanan politik
Kebarangkalian ketulenan video intim adalah tinggi: KPN
"Saya yakin bila Haziq dibicarakan, laporan sebenar tidak kira daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, CyberSecurity Malaysia atau mana-mana pakar forensik pasti mengesahkan yang ia tulen dan dengan mudah mengecam wajah pelaku sama ada sepadan dengan menteri kanan terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video sewaktu tiba dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semalam.
Khamis lalu, Abdul Hamid mengesahkan kebarangkalian video intim tersebut tulen adalah tinggi, namun hasil analisis menerusi proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dikaitkan.
Lokman turut mempertikai kenyataan Abdul Hamid yang menyatakan kes video tersebut telah membuang masa polis untuk melakukan siasatan.
“Sebagai seorang Ketua Polis Negara, beliau tidak sepatutnya berkata demikian kerana apa yang berlaku adalah jenayah di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
“Jika tidak sanggup jalankan tugas Ketua Polis Negara beri laluan kepada pegawai polis lain,” katanya.
Dalam pada itu, Lokman mendakwa beliau telah melakukan siasatan sendiri ke atas video tersebut bersama sebuah syarikat forensik di Jakarta.
Hasil keputusan video itu katanya akan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!