Dakwaan SIPP bekal racun haram tidak benar
PUTRAJAYA - Dakwaan bahawa racun makhluk perosak haram dibekalkan melalui Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dalam mengawal serangan siput gondang adalah tidak benar, kata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).
MoA dalam satu kenyataan hari ini berkata, racun makhluk perosak yang dibekalkan di bawah SIPP diluluskan Jawatankuasa Teknikal Bantuan Kerajaan kepada industri padi dan beras di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
"Terbukti keberkesanannya secara saintifik serta selamat digunakan dengan pematuhan penuh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia,” kata kementerian itu.
Antara racun makhluk perosak bagi mengawal siput gondang yang terdapat dalam SIPP adalah seperti Siputek, Mostox dan Bayluscide 70WP, katanya.
Mengenai isu penggunaan racun perosak 'fentin acetate' secara haram oleh pesawah di kawasan jelapang padi utara Semenanjung Malaysia, MoA berkata isu itu sedang dipantau dan diawasi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) bersama-sama Bahagian Perkhidmatan Makmal, Jabatan Pertanian.
Menurutnya, racun fentin acetate bersifat sangat toksik dan karsinogenik dan boleh mengakibatkan kerengsaan kepada kulit seperti kulit terbakar, eritema dan dermatitis serta gangguan sistem pernafasan dan peranakan namun masih digunakan pesawah atas faktor harga murah, mudah diaplikasikan dan kesan yang dilihat secara serta-merta.
MoA berkata, Mada dan Jabatan Pertanian akan meneruskan usaha memberi kesedaran kepada pesawah tentang bahaya penggunaan racun makhluk perosak haram ke atas kesihatan mereka dan kaedah bagi mengawal perosak siput gondang dengan lebih berkesan melalui penggunaan racun yang dibenarkan dan kawalan biologi.
Jabatan Pertanian juga sedang mengadakan siasatan terhadap aktiviti penyeludupan racun haram itu dan tindakan akan diambil di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 apabila kesalahan terbukti, katanya.
MoA juga berkata, orang awam tidak perlu khuatir berkaitan keselamatan makanan kerana penggunaan racun makhluk perosak dalam tanaman padi adalah pada peringkat awal penanaman dan sifat racun makhluk perosak yang mudah meruap dan terurai menyebabkan ia tidak terjerap di dalam tanaman.
Pada 27 November lepas, Unit Risikan dan Serbuan, Jabatan Pertanian berjaya merampas racun haram bernilai hampir RM1.05 juta yang diseludup dari Thailand, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!