Sabah berpotensi jadi pengeksport bersih pisang Cavendish
KOTA KINABALU - Sabah perlu menerima guna model perniagaan ladang pisang Cavendish yang berjaya di Kemboja untuk memenuhi permintaan tempatan dan pasaran eksport, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong.
Setelah melawat ladang pisang Cavendish seluas 4,046.85 hektar di negara berkenaan yang diuruskan rakyat Malaysia, Datuk Tom Chow Chin Kiat, Junz menyatakan rasa kagum terhadap teknologi perladangan moden yang digunakan untuk mengeluarkan pisang berkualiti tinggi secara konsisten bagi pasaran termasuk China, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat.
“Mereka mempunyai kepakaran, malah mereka memiliki ladang benih kultur tisu sendiri selain nurseri menggunakan kaedah pengeluaran benih konvensional.
“Selain itu mereka ada kilang pembuatan baja sendiri yang mengeluarkan 10 tan baja organik setiap bulan, menggunakan terutamanya hampas sawit yang banyak di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Junz berkata antara lain, ladang itu turut menggunakan sistem pengairan moden dan sistem dron berteknologi tinggi untuk memantau kedaan pertumbuhan dan nutrisi tumbuhan tersebut.
Ia juga dilengkapi sistem mekanikal khusus untuk mengangkut pisang setelah dituai ke bahagian jaminan kualiti dan kawalan kualiti (QAQC) kemudiannya dipindahkan ke kilang pembungkusan yang meningkatkan tahap kecekapan secara ketara.
Beliau berkata keseluruhan ladang itu, termasuk bahagian pembuatan dan pembungkusan, menggaji 2,000 pekerja dan perbelanjaan modal awal adalah tidak kurang daripada US$10 juta (AS$1=RM4.12).
“Saya menjemput mereka untuk datang ke Sabah serta membawa masuk pelaburan, pengetahuan teknologi dan sistem QAQC mereka,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!