Kenyataan Husam tidak berasas - Nazman

Nazman
Nazman
A
A
A

KOTA BHARU - Kenyataan Pengerusi Kelantan, Datuk Husam Musa yang mendakwa negeri ini bagai ‘syok sendiri’ dalam menjadi negeri Islamik dilihat sebagai tidak berasas, demikian menurut Presiden Pertubuhan PERTAHAN Kelantan, Nazman Che Ibrahim.

Beliau berkata, amat sedih apabila seorang senator seperti Husam memperlihatkan kononnya Kelantan tidak mempunyai sesuatu untuk menunjukkan negeri ini adalah negeri islamik.

“Takkanlah tiada langsung kebaikan negeri ini di mata Yang Berhormat? Tiadanya kedai-kedai menjual nombor ekor dan premis judi di negeri ini berbanding negeri-negeri lain, tidak istimewakah Kelantan?

“Dataran Stadium negeri ini tempat kita semua mengadakan solat tarawih, khatam dan daurah al-Quran, disuburi dengan majlis-majlis ilmu setiap tahun pada bulan Ramadan, tidak gembirakah Datuk dengan biah solehah sebegini?

“Suburnya kelas-kelas pengajian agama, berkembangnya pondok-pondok dan madrasah di negeri ini sepanjang hampir 30 tahun Kelantan ditadbir dengan dasar Islam, tidakkah melegakan hati Datuk?,”katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Nazman berkata, bersihnya pentadbiran kerajaan Kelantan sepanjang tempoh ini tanpa terpalit dengan sebarang kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah cukup memperlihatkan Islam itu menjadi tunjang utama pentadbiran.

Beliau berkata, walaupun Husam mengatakan Kelantan hanya merasa 'syok sendiri' dengan perkataan dan konotasi Islamik, itu sebenarnya lebih baik daripada bersekongkol dengan DAP yang secara jelas menolak Islam.

“Ia secara terang menghalang segala usaha Pas untuk meletakkan Islam pada tempat yang tertinggi dalam negara sendiri. Syok sendiri perjuangkan Islam lebih baik daripada syok sendiri bertembung dengan perlaksanaan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkaitan kes remaja yang disyaki memijak al-Quran nampaknya disalah ertikan oleh sebilangan kecil pihak termasuk Husam.

“Semua orang memahami dengan mudah akan maksud Menteri Besar bahawa kes tersebut adalah satu ujian dan cabaran buat negeri ini yang cuba untuk mendidik rakyatnya dengan agama Islam yang menyeluruh, namun masih sahaja ada segelintir kecil remaja yang tertinggal dan tercicir daripada program-program tarbiah dan juga pendidikan keagamaan," ujarnya.

Tambahnya, perkara tersebut sepatutnya tidak perlu disensasikan pun.

"Bukan sahaja menjadi cabaran kepada kerajaan negeri, tetapi juga kepada kerajaan pusat yang memiliki segala macam media massa, akhbar arus perdana dan agensi yang berkaitan untuk membina generasi yang benar-benar memahami Islam.

“Adakah setelah Amanah pergi menjauhi Pas serta aspirasi perjuangan Islamnya, maka Amanah dan Pakatan Harapan terlepas daripada memikirkan aspek dakwah dan pendidikan Islam ini?” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan syok sendiri gelar negeri Islamik: Husam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!