[DIKEMASKINI] Akaun peribadi terlebih pengeluaran: Najib tidak pernah tanya

Najib - Foto ZAHID IZZANI
Najib - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah bertanya mengapa akaun peribadinya di Ambank mencatatkan terlebih pengeluaran.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata pemegang mandat iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, juga tidak pernah bertanya kepadanya mengenai perkara itu.

Saksi ke-54 pendakwaan itu memberitahu demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pada perbicaraan Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Perbicaraan memasuki hari ke-41.

Sithambaran: Pernahkah anda ditanya oleh pemegang akaun atau pemegang mandat kenapa akaun itu merekodkan terlebih pengeluaran?

Yu: Tidak; apabila saya memberitahunya (Nik Faisal Ariff), dia hanya menerimanya.

Sithambaran: Pernahkah anda ditanya oleh pemegang akaun atau pemegang mandat mengapa ada wang yang tidak dibenarkan?

Yu: Saya tidak menghubungi pemegang akaun.

Semasa menjawab soalan Sithambaran tentang sama ada saksi itu tahu bahawa Najib terkejut apabila mengetahui bahawa sejumlah besar wang melibatkan berjuta-juta telah depositkan ke dalam akaun peribadinya, Yu berkata dia tidak menyedarinya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, apabila ditanya sama ada penyata akaun itu dihantar kepada Najib dan Nik Faisal Ariff, Yu berkata ya.

Sithambaran: Berdasarkan penyata itu, adalah pemegang akaun mengetahui mengenai dana dalam akaunnya?

Yu: Ya.

Sithambaran: Selain penyata bank, adakah ada sebab mengapa pemegang akaun perlu tahu (tentang) aliran wang?

Yu: Apabila ada pengeluaran, mereka akan tahu dan penyata bank juga memaklumkan tentang bakinya.

Terdahulu, Sithambaram bertanya kepada Yu tentang perbualan antara beliau dan ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, pada 9 Jun, 2014.

Yu diminta memberi huraian lebih lanjut dan beliau menjelaskan bahawa apabila Nik Faisal Ariff tidak ada di bandar, beliau akan bertemu (Jho Low) untuk mendapatkan dokumen.

Sithambaram juga bertanya mengapa Yu tidak menghubungi Najib secara peribadi apabila Nik Faisal Ariff tidak dapat hadir dan saksi itu menjawab bahawa dia tidak dapat berhubung dengan Najib secara peribadi.

“Kami mendapat arahan kerana perlu berhubung dengan Nik Faisal, pemegang mandat dan kami mengikut surat itu,” katanya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!