Kedah tingkat pengeluaran durian
KULIM - Kedah sedang bergerak ke arah usaha meningkat pengeluaran durian bagi menampung permintaan tempatan dan luar negara.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Negeri Kedah, Azman Nasrudin berkata, untuk ke arah itu, daerah Kulim Bandar Baharu, Pendang dan Baling dikenal pasti sebagai pusat pengeluaran durian.
"Daerah Kulim-Bandar Baharu, Pendang, termasuk Baling akan dijadikan kluster durian. Ia bukanlah bererti daerah lain tidak boleh menanam durian, cuma kita tumpukan tiga daerah ini.
"Usaha ini akan meningkatkan pendapatan petani dan pemilik dusun durian itu sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Durian 2019 di Pasar Tani Kekal, semalam.
Menurutnya, bagi menghasilkan pengeluaran durian terbaik bagi pasaran eksport dan tempatan, kerajaan turut menganjurkan kursus penanaman klon-klon terbaik kepada peserta.
Mengulas lanjut Karnival Durian Kedah 2019, Azman berkata, beliau berpuas hati dengan kehadiran pengunjung yang mencecah 800 orang pada penganjuran tersebut."Tujuan karnival ini untuk adakan pertandingan durian-durian terbaik Kedah. Ada dua kategori iaitu durian kampung dan durian klon.
"Penyertaan merangkumi 12 daerah di Kedah. Semua daerah menghantar wakil. Kita juga mengadakan pertandingan memasak menggunakan buah durian dan ia libatkan 20 peserta," katanya.
Tambahnya, penganjur turut menganjurkan kenduri pulut durian kepada semua yang hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!