Pelajar tingkatan 4 sertai misi tawan Gunung Elbrus

Sara Sofea ditemui ketika majlis pelancaran dan penyerahan Jalur Gemilang sempena misi ekspedisi menawan puncak Gunung Elbrus, Rusia di Putrajaya hari ini.
Sara Sofea ditemui ketika majlis pelancaran dan penyerahan Jalur Gemilang sempena misi ekspedisi menawan puncak Gunung Elbrus, Rusia di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pelajar perempuan tingkatan empat dari Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS), bakal mencipta sejarah sebagai pendaki wanita termuda menakluk Gunung Elbrus di Rusia, puncak tertinggi di benua Eropah.

Sara Sofea Muhammad Illaham, 16, terpilih menyertai ekspedisi yang akan bermula pada 9 Ogos depan selama sembilan hari.

Misi ekspedisi berkenaan dikelolakan oleh Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Sara Sofea, berkata dia menjalani latihan selama dua tahun di bawah tunjuk ajar dua jurulatih mendaki berpengalaman bagi merealisasikan impian menakluk puncak Elbrus.

Menurutnya, dia yakin latihan lengkap yang dilaluinya mampu membantunya.

“Saya berharap keadaan cuaca di gunung Elbrus itu nanti akan menyebelahi saya dan saya juga mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya ke puncak Elbrus.

“Saya mendaki bukan hanya untuk diri saya sendiri sahaja tetapi saya membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dengan matlamat untuk menjadi belia termuda Asia Tenggara mendaki ke puncak Elbrus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sara Sofea, dia menjalani latihan penyesuaian cuaca sejuk dan altitud tinggi di Gunung Fuji, Jepun serta di Gunung Kinabalu, Sabah dan turut menjalani latihan di Gunung Tahan, Gunung Datuk, Gunung Korbu serta latihan rutin mingguan untuk mengekalkan kecergasan fizikalnya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, cabaran paling besar adalah dari segi kekuatan mental yang memerlukan beliau mengatasinya jika mahu menawan puncak Elbrus.

“Pendakian di Elbrus amat mencabar mental memandangkan laluan pendakiannya yang jauh selain keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut salji dan suhu di paras bawah beku negatif 30 darjah selsius.

“Ditambah pula dengan kemungkinan berlakunya runtuhan salji di lereng-lereng pergunungan,” katanya.

Terdahulu berlangsung majlis pelancaran dan penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian, KPM, Zainal Abas di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia, Muhammad Illaham Ishak, Penasihat kelab, Zainudin Lot serta Pengetua SMSKS, Mohd Shahadan Abdul Rahman.

Sara Sofea yang berasal dari Subang, Selangor, akan diiringi lima lagi pendaki sokongan dalam usaha beliau menawan puncak Elbrus setinggi 5642 meter.

Pendakian Sara Sofea ke puncak Elbrus dirangka juga bersempena dengan Misi Ekspedisi Belia Merdeka 2020 yang juga merupakan salah satu gunung yang tersenarai dalam tujuh puncak tertinggi di dunia iaitu ‘7 Summit’

Juga misi untuk mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62 tahun ini selain meraikan pencapaian Wawasan 2020 yang bakal disambut tahun hadapan.

Menerusi misi ekspedisi ini juga, KJA mengambil inisiatif mengumpul dana untuk Misi Antarabangsa ‘Climb For Peace’ iaitu misi kemanusiaan membina perigi air minuman dan bantuan mangsa peperangan di bawah kelolaan Aman Palestin.

Selain itu, KJA juga sedang dalam usaha untuk mengumpul dana untuk sumbangan membaik pulih lapangan bola keranjang SMSKS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!