Jadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 misi nasional, kata PM
SEPANG - Tahun Melawat Malaysia 2020 mesti dijadikan misi nasional oleh seluruh rakyat negara ini dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, setiap orang ada peranan yang perlu dimainkan untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di mana kerajaan akan memastikan kempen ini menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.
“Keramah-tamahan kita bukan sekadar satu slogan tetapi diterjemahkan sebagai sifat semula jadi dan budaya rakyat negara kita.
“Keindahan sesuatu tempat itu akan menarik orang untuk datang tetapi keramah-tamahan penduduknya akan membuat orang tinggal lama dan datang semula,” katanya pada pelancaran Logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Sementara itu, Dr Mahathir turut mengulas mengenai logo kempen yang menampilkan pelbagai ikon negara seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia itu dihasilkan pereka grafik muda, Alfred Phua Hong Fook.
"Secara keseluruhannya (logo kempen) menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian.
"Seluruh rakyat Malaysia turut diseru untuk mengambil bahagian sebagai salah satu misi nasional bagi menjayakannya," katanya.
Jelasnya lagi, tahun 2020 ditetapkan sebagai tahun Kempen Melawat Malaysia dengan sasaran untuk mencapai ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion.
"Kempen ini memfokuskan kepada kelestarian pelancongan, seni dan kebudayaan," katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan kejayaan kempen ini, Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan sektor-sektor swasta seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air, Malaysia Airport Holding Berhad dan Sharp (M) Electronics Sdn Bhd.
Selain itu, kemudahan Visa Sebaik Tiba (VOA) telah diperluaskan kepada 13 pintu masuk di Malaysia bagi memastikan kemasukan yang mudah bagi pelancong dari China dan India yang merupakan dua pasaran pelancong 'outbound' yang telah berkembang dengan pesat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!