Tahap kesedaran pencemaran bunyi di Malaysia masih rendah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Tahap kesedaran majikan dan pekerja menangani masalah pencemaran bunyi bising di tempat kerja di negara ini masih terlalu rendah meskipun Peraturan Pendedahan Bunyi Bising di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sudah diwartakan sejak 1 Jun lalu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun pemain industri diberi tempoh sehingga 12 bulan dari tarikh pewartaan untuk mengimplementasi peraturan baharu itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) digesa mempertingkatkan usaha turun padang bagi memberi pendidikan kepada majikan dan pekerja.

Menurutnya, usaha bersemuka dengan pihak majikan bagi menerangkan tujuan dan objektif pewartaan peraturan baharu itu amat penting bagi mereka mengetahui langkah perlu diambil dalam menangani masalah pencemaran bunyi di tempat kerja.

"Peraturan baharu yang diwartakan pada 1 Jun 2019 itu memastikan majikan mengenal pasti sama ada pekerja mereka terdedah dengan pencemaran bunyi bising keterlaluan sehingga melebihi 82 desibel di tempat kerja.

"Masalah kehilangan pendengaran akibat bunyi bising adalah antara bencana pekerjaan paling kerap dialami pekerja terutama dalam sektor pembinaan dan perkilangan.

"Di sebalik usaha murni kerajaan, tahap kesedaran terhadap kepentingan peraturan itu masih terlalu rendah dan DOSH perlu mengadakan banyak program bagi mendidik masyarakat mengenainya," katanya selepas merasmikan Hari Keselamatan dan Kesihatan Chuan Sin Sdn Bhd (Spritzer) di sini semalam.

Lam Thye (enam dari kiri) bersama barisan pengurusan Spritzer Berhad di Spritzer Eco Park di sini semalam.
Lam Thye (enam dari kiri) bersama barisan pengurusan Spritzer Berhad di Spritzer Eco Park di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Spritzer, Kenny Lim; Pengarah Eksekutif Spritzer Berhad, Dr Chuah Chaw Teo dan Pengurus Besar NIOSH Certification Sdn Bhd, Shamsul Zahrin Zainudin.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Lam Thye menggesa lebih banyak organisasi awam dan swasta harus mengguna pakai konsep Wawasan Sifar (Vision Zero) dengan meningkatkan budaya pencegahan dapat membantu mengurangkan kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

Menurutnya, pendekatan pencegahan membolehkan organisasi mengenal pasti dan menghapuskan punca kemalangan, kemudaratan dan penyakit berkaitan pekerjaan.

"Ia akan memastikan majikan boleh menyediakan sistem kerja selamat dan sihat dan pada masa yang sama, pekerja perlu memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan diri dan rakan-rakan mereka," katanya.

Lam Thye berkata, penerapan Wawasan Sifar tepat pada masanya kerana Kementerian Sumber Manusia melalui Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 menetapkan sasaran untuk mengurangkan kemalangan industri kepada 2.53 peratus bagi setiap 1,000 pekerja dan kadar kematian perindustrian kepada 4.36 peratus bagi setiap 100,000 pekerja menjelang 2020.

Bagaimanapun, rekod DOSH menunjukkan kadar kemalangan di tempat kerja bagi setiap 1,000 pekerja sedikit meningkat kepada 2.93 peratus pada tahun 2017 berbanding dengan 2.88 peratus pada tahun 2016 dan 2.81 peratus pada tahun 2015.

"Kadar kematian perindustrian juga meningkat kepada 4.90 peratus bagi setiap 100,000 pekerja pada tahun 2017 berbanding dengan 4.84 peratus bagi setiap 100,000 pekerja pada tahun 2016 dan 2015.

"Sekiranya trend ini berterusan, beliau berkata, sasaran ditetapkan bagi kedua-dua kemalangan industri dan kematian tidak akan dicapai pada tahun 2020," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!