Cili centil tingkat pendapatan petani
PONTIAN - Peladang Nita, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas menumpukan usaha ke arah membantu kerajaan dalam mengurangkan import cili.
Pengerusinya, Zarina Mohamad Bain berkata, usaha tersebut diteruskan dengan sasaran penanaman sebanyak 5,000 pokok cili centil bertujuan meningkatkan pendapatan petani, di samping mempelbagaikan hasil pertanian selain tanaman komoditi kelapa sawit.
“Dengan bantuan dan khidmat nasihat mengenai penanaman secara fertigasi, Peladang Nita memulakan dengan tanaman sebanyak 200 pokok sebagai permulaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tuaian Pertama Projek Tanaman Cili Fertigasi Peladang Nita PPK Pekan Nanas, di sini kelmarin.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor, Samsudin Selamat.
Mengulas lanjut Zarina berkata, pemilihan terhadap cili centil juga disebabkan ia adalah tanaman yang mudah ditanam.
“Sejajar dengan konsep pertanian adalah perniagaan, PPK sendiri berusaha mewujudkan pelbagai peluang ekonomi yang dapat menjana pendapatan petani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!