Iron Man jaga kambing
ANALISIS
PANGGILAN haji telah tiba lagi, menunaikan ibadah panggilan Baitullah, Tanah Suci Makkah Ya Makkatul Mukarramah, Tanah Suci Makkah Ya Makkatul Mukarramah....Terngiang-ngiang di telinga penulis lagu Panggilan Haji nyanyian semula oleh kumpulan nasyid Hijjaz.
Tahun ini seramai 30,200 umat Islam dari Malaysia mengikut kuota yang diberikan kerajaan Arab Saudi berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima dan bagi yang belum berpeluang menunaikan haji, Hari Raya Aidiladha adalah hari yang dinanti-nantikan untuk disambut.
Ramai mengambil peluang setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha untuk melakukan ibadah korban.
Ada yang pilih lembu, kambing dan tidak kurang juga memilih kerbau sebagai haiwan untuk dikorbankan.
Bila dikatakan tentang haiwan korban ini, penulis sebenarnya ada terbaca berita di surat khabar yang mengatakan semakin tiba raya korban, ramai penternak akan mengalami kerugian kerana haiwan ternakan mereka dicuri.
Teringat penulis berita yang dibaca minggu lalu apabila sebanyak 320 ekor kambing jenis boer tempatan yang diternak untuk dijadikan korban dicuri dalam kejadian di Seelong, Kulai, Johor.
Syarikat penternakan kambing terbabit rugi kira-kira RM300,000 selepas ladang ternakan dimasuki sekumpulan lapan lelaki berparang dan melarikan kambing menggunakan sebuah lori pada waktu malam.
Dua pekerja ladang ternakan itu turut diikat kaki dan tangan sebelum diletakkan di dalam sebuah kontena.
Itu cerita di Johor, berlainan pula cerita di Temerloh, Pahang apabila sekumpulan lelaki bertindak membakar sebuah kereta yang digunakan mereka untuk mencuri kerbau sebelum melarikan diri di Kampung Desa Baru Purun minggu lalu.
Difahamkan, dalam kejadian awal pagi itu, sebuah daripada empat kereta digunakan kumpulan lelaki berkenaan rosak dan tidak dapat dihidupkan ketika mereka cuba melarikan diri.
Penduduk kampung juga dapat merampas kembali seekor kerbau yang telah diikat selepas disuntik dengan bahan pelali.
Harus diingat, jika pencuri berkenaan dapat ditangkap, mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Ini baru dua kejadian pada minggu lalu. Sebenarnya banyak lagi kes kecurian haiwan ternakan pada musim perayaan berlaku di negara ini sehinggakan penternak sendiri buntu bagaimana untuk mengatasi kejadian ini.
Sebagai contoh di Sungai Petani, Kedah apabila penternak diminta meningkatkan pemantauan dan kawalan memandangkan kecurian membabitkan haiwan ternakan sering dilaporkan berlaku ketika musim perayaan.
Ia disuarakan sendiri oleh seorang penternak, Md Rashid Hanapi seperti disiarkan di Sinar Harian pada 2 Jun 2019 yang menganggap kes kecurian haiwan ternakan terutama lembu sudah menjadi kebiasaan ketika musim perayaan dan ia seakan-akan asam garam kehidupannya.
Menurutnya, dia sudah kehilangan lebih 20 ekor lembu sejak mula menternak pada 2007.
Dalam pada itu, penulis berkesempatan menonton semula filem lama iaitu Iron Man dan Robocop di televisyen baru-baru ini.
Ironinya, filem Iron Man yang ditayangkan di pawagam pada 2008 dan Robocop yang ditayangkan pada 1987 sebenarnya menunjukkan kuasa teknologi yang canggih mampu membanteras jenayah.
Justeru, penulis terfikir, jika teknologi ini benar-benar wujud, mungkinkah dunia ini akan aman daripada sebarang kes jenayah?
Jika Iron Man dan Robocop benar-benar wujud pada hari ini, mungkin penjenayah gentar untuk melakukan jenayah dan akan mewujudkan dunia bebas jenayah.
Dalam kita bersedia untuk memacu Revolusi Industri 4.0, sudah tiba masanya cerdik pandai di luar sana mencipta sut sehebat Iron Man dan Robocop untuk menjamin keselamatan semua.
Boleh terbayangkah kita jika Iron Man dan Robocop menjaga haiwan ternakan di ladang bagi mengelakkan berlakunya kecurian? Bayangkan jika dua penjaga ladang ternakan di Johor yang dicuri kambing mereka, memakai sut Iron Man dan mampu menewaskan penjenayah.
Di sinilah pentingnya teknologi canggih untuk membantu mengubah kehidupan harian manusia.
Kesimpulannya, kepada semua yang ingin melakukan ibadah korban, janganlah terbeli haiwan curi dan kepada penternak pula, pantau haiwan ternakan anda, jangan sampai dicuri. Tetapi harus diingat jangan dibiarkan haiwan ternakan berkeliaran kerana jika haiwan anda hilang, ia mungkin bukan sebab dicuri tetapi mungkin ditangkap pihak berkuasa tempatan (PBT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!