Mahasiswa tidak kenal H2O

A
A
A

APA kekurangan para mahasiswa kita sebagai warganegara? Mungkin mereka boleh jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di dunia korporat dan tokoh pendakwah tetapi mereka tidak mengenali budaya atau matrix yang mentadbir, mengawal dan mentakrifkan kehidupan mereka sebagai warganegara.

Mereka adalah umpama ikan yang hidup dalam air seumur hidup tetapi tidak tahu apa itu air. Ikan bergantung pada air untuk hidup tetapi tidak tahu komposisi air adalah H2O! Ikan sekadar konsumer air, bukan produser. H20 inilah matrix air.

Kita adalah umpama ikan-ikan ini. Kita hidup dalam matrix kenegaraan tetapi tidak kenal matrix ini. Bahkan tidak akan mampu menginovasi matrix baharu. Israel berjaya menghasilkan air bersih semata-mata daripada udara kerana mampu memanipulasikan komposisi H20.

Saya suka membuka minda pelajar dengan soalan yang kononnya mudah: "Adakah Pas sebuah parti liberal?" Jawapan biasanya, "bukan! Pas ialah parti Islamik!"

Soalan saya seterusnya ialah mengapa kamu fikir Pas adalah parti Islamik. Malangnya ramai mahasiswa beri jawapan ini: "Kerana Pas ialah Parti Islam SeMalaysia dan dipimpin ulama-ulama!"Mahasiswa ini seperti ikan dalam air yang tidak kenal H2O air, tidak kenal H2O sistem kepartian. Tetapi adakah mahasiswa yang perlu disalahkan?

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberi diagnosis tepat tentang akar masalah budaya ilmiah. Salah satu punca ialah subjek Falsafah tidak diperkasakan atau langsung tidak wujud, di dalam sistem pendidikan walaupun ia begitu rancak diperkenalkan oleh failasuf-failasuf Barat dan ulama-ulama klasik dunia Islam seperti Imam Al-Ghazali, Ibn Khaldun, Ar-Razi, Ibn Rushd, Ibn Hazm yang berusaha menggabungkan Tasawwuf, Usul Fiqh, Usuluddin dengan Falsafah.Pendapat penulis, wujud salah faham para pendidik tentang makna falsafah. Saya lihat pendidik gagal membezakan 'falsafah' (dengan huruf kecil f) dan 'falsafah' (dengan huruf besar F).

Maka universiti-universiti pun memperkenalkan subjek-subjek seperti falsafah pendidikan, falsafah undang-undang, falsafah sains politik, falsafah perniagaan dan lain-lain.

Bila mahasiswa itu ambil subjek falsafah sains politik, sebagai contoh falsafah (huruf kecil f), dia perasan yang dia sudah tahu Falsafah (huruf besar F). Pelajar inilah yang jawab soalan saya seperti ikan dalam air.

Artikel Berkaitan:

Perbezaan antara falsafah dan Falsafah adalah seperti perbezaan antara mereka yang fasih satu bahasa dan mereka yang tahu linguistik bahasa secara umum.

Seseorang mungkin fasih bahasa Mandarin kerana dia memang di besarkan dalam bahasa Mandarin tetapi tidak tahu linguistik bahasa.Seseorang yang fasih Mandarin tetapi tidak kenal ilmu linguistik tidak boleh dianggap sebagai ahli linguistik. Demikian juga seseorang yang tahu falsafah sains politik tidak semestinya ahli Falsafah (huruf besar F).

Falsafah (huruf besar F) sebagai Queen of All Sciences adalah umpama linguistik bahasa secara umum yang mencungkil akar umbi semua bahasa dan ilmu. Contohnya apabila ditanya adakah Pas itu liberal, seorang pelajar yang kenal Falsafah (huruf besar F) akan jawab berikut:

"Pas ialah sebuah parti politik. Sebagai 'parti', Pas ialah konsumer matrix Demokrasi Liberal yang memperkenalkan sistem perwakilan, pilihan raya, Parlimen, pengasingan kuasa dan kontrak sosial yang menjadi tonggak negara.

Matrix adalah berakar umbikan Falsafah liberal John Locke tentang epistemologi, hak-hak dan autonomi individu.

"Konsep individualisme John Locke banyak dipengaruhi oleh failasuf Andalusia Ibn Tufayl yang berhujah bahawa seorang individu yang lahir di sebuah pulau tanpa manusia yang lain memiliki akal yang mampu memikirkan kebenaran."

Jawapan seperti itu adalah contoh mindset Falsafah (huruf besar F) yang perlu ditanam dalam diri mahasiswa yang bakal mengundi pada usia 18 tahun agar mereka mengenali isu-isu nasional dari akar umbinya.

Dengan ilmu Falsafah (huruf besar F), mahasiswa kita bukan sekadar memahami matrix terkini yang mengawal institusi-institusi sosial tetapi mampu menjadi warganegara (citizen) yang bijak dalam mencadangkan pembaharuan yang bermula daripada mengenali H2O sistem dan budaya negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!