Kaunter tiket final Piala FA dibuka 10.30 pagi ini
KUALA LUMPUR - Kaunter tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 membabitkan dua gergasi utara -- Kedah menentang Perak -- akan dibuka serentak di kedua-dua negeri, bermula 10.30 pagi ini.
Aksi final Piala FA antara Kedah berdepan Perak bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu ini.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini, menetapkan sebanyak 80,000 keping tiket disediakan untuk perlawanan akhir Shoppee Piala FA 2019.
Agihan tiket tersebut memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak, masing-masing kepada setiap pasukan dengan harga jualan RM50 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak bawah 12 tahun).
Baki 18,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak pula dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my.
Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebelum ini memaklumkan daripada 30,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Perak, 15,000 akan dijual di Stadium Perak, manakala 12,000 tiket diagihkan ke seluruh daerah dan baki 3,000 dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan berkaitan.
Skuad The Bos Gaurus kendalian Mehmed Durakovic mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Pahang menerusi agregat 4-3, manakala Kedah di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak ke pentas final menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 3-3 berdepan Felda United.
Untuk rekod, kali terakhir Perak berjaya ke final adalah pada edisi 2005, menentang Selangor namun tewas 2-4, manakala Kedah membawa pulang Piala FA pada edisi 2017 selepas menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!