Al-Sultan Abdullah tinggalkan status, protokol tepi padang, kata rakan karib
KUALA LUMPUR - Semangat kesukanan tinggi dan dahagakan cabaran ‘sebenar’ membuatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lebih selesa meninggalkan darjat rasmi baginda di luar padang terutamanya ketika beraksi di gelanggang sukan polo berkuda.
Minat dan rasa cinta mendalam terhadap sukan sering kali mengatasi status dan protokol Seri Paduka sebagai seorang yang berketurunan raja, demikian pandangan Datuk Hata Ali, rakan karib dan rakan berlatih polo Al-Sultan Abdullah.
Bercerita tentang perilaku Seri Paduka semasa beraksi di padang, Hata, 73, berkata sikap keterbukaan dan profesional Seri Paduka dalam bersukan membuatkan Al-Sultan Abdullah disenangi kawan mahupun lawan ketika di atas padang.
“Baginda sama macam anda dan saya, sama juga dengan lawan baginda ketika di atas padang. Jangan ingat (ketika main polo) lawan akan kata... oh dia Tuanku, jadi kita tidak boleh langgar dia.
“(Sebenarnya) Baginda lebih suka apabila orang langgar, maknanya baginda nak lawan balik, semangat juang baginda sangat tinggi,” katanya kepada Bernama dalam temu bual bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Bercerita lanjut, Hata berkata, minat Seri Paduka terhadap sukan polo bermula ketika berusia belasan tahun lagi apabila Al-Sultan Abdullah mengiringi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah bermain polo pada ketika itu.
Hata berkata, semasa itu jugalah persahabatannya dengan Al-Sultan Abdullah mula terjalin apabila kedua-dua mereka sering bertemu di gelanggang polo yang sama.
Mengenai aksi Seri Paduka semasa bermain polo, beliau berkata Al-Sultan Abdullah dikenali sebagai seorang pemain polo yang sangat ‘calculative’ dengan mengutamakan logik dan mampu membaca permainan dengan baik.
“(Ketika di atas padang) Tuanku seorang ‘motivator’ yang hebat, baginda suka menggalakkan pemain lain supaya fokus dan memberikan usaha seratus peratus. Tuanku seorang ahli sukan serba boleh, kalau anda bercakap tentang polo atau hoki, baginda memang tahu semua,” katanya.
Selain bermain polo di dalam negara, Al-Sultan Abdullah sering berangkat ke luar negara seperti ke Argentina dan England untuk bermain polo dengan pemain handalan dunia, malahan Seri Paduka juga pernah bermain bersama Putera Charles, Prince of Wales, kata Hata.
Al-Sultan Abdullah kini merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia dan Presiden Kelab Polo Diraja Pahang.
Hata, yang sudah lebih 40 tahun mengenali Al-Sultan Abdullah, berkata daripada sisi keperibadian, Seri Paduka merupakan seorang yang berprinsip dan tegas, selain sangat menitikberatkan sikap bersopan santun dalam pergaulan.
Sultan Abdullah juga merupakan seorang sahabat yang baik dan sangat terbuka kepada sebarang pandangan, kritikan dan pendapat berbeza, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!