Petua agar sayur tahan lebih lama
Justeru, ia memaksa mereka untuk membeli sayur-sayuran secara kerap. Seperti kita tahu, kaum hawa sebenarnya mempunyai masa yang terhad untuk berulang alik ke kedai atau pasar raya lantaran kesibukan bekerja dan menguruskan rumah tangga.
Jangan risau, Dapur Femina pada kali ini, akan kongsikan petua bagaimana untuk mengekalkan kesegaran sayur agar ia bertahan lama. Apa kata kita ikuti langkah-langkah yang dinyatakan:
1) Jangan basuh sebelum disimpan
Jangan sesekali membasuh sayur-sayuran sebelum disimpan dalam peti ais. Jika dibasuh ia akan jadi lembik dan tidak mampu bertahan lama. Sebaiknya, cuci sayur tersebut tatkala anda mahu menggunakannya.
2) Rendam dengan air garam
Rendam sayur-sayuran ke dalam air yang dibubuh garam selama 10 minit. Kemudian tos dan biarkan selama lima minit sebelum dimasak. Garam berfungsi untuk menghilangkan sisa-sisa kimia atau racun serangga yang melekat pada sayur-sayuran tersebut.
3) Jangan simpan sayur yang tidak sesuai dalam peti sejuk
Sayur-sayuran seperti kentang dan bawang tidak sesuai disimpan dalam peti sejuk. Ia sesuai disimpan pada suhu bilik yang normal bagi membolehkan ia bertahan lama.
4) Jangan simpan sayur bersama buah
Ketika menyimpan sayur dalam peti air, asingkan ia daripada buah-buahan. Segelintir buah atau sayur akan merembeskan ethylene apabila ia masak seperti tomato, pisang dan mangga.
5) Simpan pada suhu lebih tinggi
Pastikan simpan sayur-sayuran di tempat khas penyimpanannya dalam peti ais kerana suhunya lebih tinggi. Bila suhu tepat, maka ia mampu memberi kesegaran dan aroma pada sayur-sayuran tersebut.
6) Asingkan bahagian sayur yang rosak
Tatkala menyimpan sayur, pastikan anda buang bahagian yang rosak. Ia mampu mengelak jangkitan kulat kepada bahagian sayur yang masih elok.
7) Simpan sayur dalam air
Sayur seperti lobak merah misalnya, kupas kulitnya dan potong mengikut saiz yang anda mahukan. Kemudian simpan potongan sayur tersebut dalam bekas yang bertutup yang mempunyai air.
8) Alas sayur dengan tisu lembab
Alaskan tisu yang telah dilembabkan pada lapik bekas penyimpanan sayur. Kemudian susun sayur di atas tisu berkenaan dan simpan dalam peti sejuk. Ia mampu memberikan kesegaran pada sayur anda.
9) Simpan dalam botol plastik
Bagi mengekalkan kesegaran sayur seperti daun bawang, anda boleh menyimpannya dalam botol plastik. Caranya mudah, potong daun bawang kecil-kecil dan jemur seketika. Kemudian, simpan potongan daun bawang dalam botol plastik dan letakkan dalam peti sejuk.
10) Bungkus dalam kertas aluminium foil
Sayur-sayuran seperti daun saderi, salad dan brokoli sahaja yang sesuai dibungkus dalam kertas aluminium foil. Caranya cukup mudah, hanya balut dalam kertas tersebut dan simpan rapi dalam peti ais. Kesegaran sayur mampu bertahan selama dua hingga tiga minggu lamanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!